PUTRAJAYA, 31 Ogos 23 – Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 pada tahun ini telah disambut di lokasi berbeza daripada tahun lalu yang memberikan kelainan yang tersendiri. Bertempat di Dataran Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM bersama isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Seri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Harlina binti Haron dan Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewimastura binti Tumiran.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023. Turut hadir, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri; Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan isteri serta ahli-ahli Jemaah Menteri.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terlibat dalam Sambutan Hari Kebangsaan dengan penglibatan keseluruhan seramai 132 Pegawai dan 733 Anggota LLP. Sebaik keberangkatan tiba KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong di Dataran Putrajaya, Baginda Tuanku telah mengambil tabik hormat dan terbang lintas hormat daripada lima (5) pesawat helikopter iaitu EC 725 AP yang membawa Jalur Gemilang, EC 725 AP yang membawa Bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agusta A 109 LOH yang membawa Bendera Tentera Darat Malaysia (TDM), AW 139 HOM yang membawa Bendera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan EC 725 AP yang membawa bendera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penglibatan TUDM dalam perarakan terdiri daripada Kontinjen TUDM dengan tiga (3) Pegawai dan 205 Lain-lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Zaily Hatta bin Jelani TUDM; Kontinjen Gabungan Pasukan Khas ATM iaitu turut terdiri daripada seorang Pegawai dan 51 LLP dari Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kontinjen Gabungan Pasukan Simpanan ATM iaitu turut terdiri daripada seorang Pegawai dan 51 LLP dari Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) serta Kontinjen Gabungan Wanita ATM iaitu turut terdiri daripada seorang Pegawai dan 51 LLP dari TUDM. Turut terlibat ialah Kontinjen Aset iaitu tiga treller yang membawa misil. Manakala Pancaragam Pusat TUDM terdiri daripada seorang Pegawai dan 50 Anggota LLP di bawah pimpinan Mejar Mohd Rizal bin Hj Mohd Noor TUDM dibantu oleh Pegawai Waran Udara II Mohd Fairul bin Mahat dan Drum Major, Sarjan Udara Muhd Zulkifli bin Wand.
Pada sambutan kali ini, TUDM sekali lagi dipertanggungjawabkan mengetuai Persembahan Udara yang mempamerkan simbolik kesiagaan dan keupayaan aset dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan kebolehoperasian aset udara pelbagai kategori pesawat tempur, pesawat angkut dan helikopter.
Seramai lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan acara gilang gemilang Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang membawa tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. Kehadiran serta sokongan orang ramai dalam acara ini membuktikan semangat patriotik yang kekal subur dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai usia, bangsa, agama dan latar belakang.
Acara perbarisan dan perarakan yang menjadi tarikan utama sambutan telah dijayakan oleh 17,262 orang peserta melibatkan 67 kontinjen. Kontinjen ini dibahagikan kepada sembilan komponen iaitu kenegaraan, perpaduan Malaysia MADANI, ekonomi, perbankan, telekomunikasi,industri kreatif dan penyiaran, sukan negara, kesejahteraan serta keselamatan negara. Turut dipertontonkan ialah 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan sebanyak 100 ekor.
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 turut diraikan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 7.00 pagi.