Port Dickson, 22 Sep 21- Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 pada tahun ini dengan tema ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM. Turut hadir menyaksikan sambutan ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Tentera Udara; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta barisan kepimpinan tertinggi TUDM dan ATM.
Pada tahun ini dan buat julung kalinya sambutan telah diadakan di Kem Segenting, Port Dickson Negeri Sembilan, secara fizikal mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dari kalangan masyarakat setempat atau luar. Ini adalah sebagai kawalan bagi memastikan acara dapat diadakan dengan lancar dan mengawal sebarang kebarangkalian penularan wabak COVID-19.
Keseluruhan penglibatan pegawai dan anggota ATM dalam menjayakan sambutan Hari ATM pada tahun ini adalah seramai 2,500 orang. Sambutan kali ini juga agak berbeza berbanding tahun sebelumnya di mana pada tahun ini telah dipertontonkan dengan Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM sebelum disusuli dengan Perbarisan Statik Tempur serta Penyampaian Perutusan Panglima Angkatan Tentera yang turut disiarkan secara lintas langsung oleh Stesen Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pelaksanaan Latihan Kesiagaan yang memperlihatkan keupayaan aset serta kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan wabak COVID-19.
Aset TUDM yang terlibat dalam segmen Latihan Kesiagaan ialah Pesawat Pejuang SU-30 MKM Sukhoi, Pesawat Pengangkut C130H, Helikopter EC 725 AP serta Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU). Aset TDM ialah Kereta Kebal PT-91M PENDEKAR, Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA, Kenderaan Berperisai Berantai ADNAN, Kenderaan Berperisai 4x4 LIPAN BARA, Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, Kenderaan Pengangkut Senjata VAMTAC, Scrambler, 72 Bot Tempur dan Rigid Inflatable Boat (RIB) serta anggota dari 10 Briged Para, 4 Briged (Mekanize), Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Gerup Gerak Khas (GGK) manakala aset TLDM ialah KD MAHAWANGSA, KD LEKIU, KD JEBAT, KD LEKIR dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Bagi Acara Perbarisan Statik Tempur pula telah diketuai oleh Kolonel Mohd Rosli bin Abu Bakar melibatkan lapan ( detasmen yang terdiri daripada Detasmen TDM, TLDM, TUDM, MALBATT, GGK, PASKAL, PASKAU dan Pasukan Aturgerak Cepat (PARA).
Perbarisan pada pagi ini turut menyaksikan terbang lintas empat (4) buah pesawat helikopter ATM melibatkan dua (2) helikopter EC 725 AP, Agusta A109 LOH dan Super Lynx yang membawa bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azhar bin Abdul Rahman TUDM. Perbarisan ini juga turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATM di bawah pimpinan Mejar Zaiful Azman bin Zainol Abidin.
Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera yang merupakan anugerah tertinggi di dalam ATM. Anugerah ini diberikan kepada Formasi atau Briged terbaik bagi Tentera Darat, Pasukan terbaik bagi TLDM dan Pangkalan Udara terbaik bagi TUDM. Penerima Anugerah Kesiagaan PAT menerima piala pusingan serta wang tunai sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM 5,000). Pangkalan Udara Kuantan telah menjadi Pangkalan Udara Terbaik dengan menyaksikan Brigedier Jeneral Zulkiffli bin Hj Musa TUDM selaku Komander Pangkalan menerima anugerah tersebut berserta penerima Anugerah Kesiagaan PAT iaitu Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal, Panglima 10 Briged (PARA) dan Komander Asri bin Dasman TLDM, Pegawai Memerintah KD LEKIR.
Panglima Angkatan Tentera di dalam perutusannya menekankan empat (4) keutamaan di dalam Perintah Ulung iaitu Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM, Memperkasa Warga ATM yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan sebagai panduan strategik agar ATM dapat menjadi satu ketumbukan “full spectrum” yang holistik dan mampan. Beliau turut menekankan aspek “man, machine, method and mates” yang perlu diterapkan sebagai perkara asas kepada semua lapisan anggota agar kompetensi, pengetahuan serta semangat kebersamaan menjadi lebih kukuh dan utuh. ATM perlu memastikan kesiagaan angkatan sentiasa berada pada tahap yang tertinggi. Walaupun postur ketenteraan negara mengamalkan ciri defensif, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada ATM untuk mengambil tindakan (coercive) yang berkadaran (proportionate) sekiranya kepentingan dan kedaulatan negara digugat.
Tahun ini merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekundernya bagi membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19 namun ATM terus mendepani cabaran ini dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan. ATM sebagai benteng utama pertahanan negara akan terus komited untuk mendukung misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara sejajar aspirasi Kertas Putih Pertahanan ke arah Malaysia yang selamat, berdaulat dan makmur.