PROGRAM PELANCARAN TABUNG IHYA’ RAMADAN TAHUN 1443H

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 1 April 22 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Program Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan Masjid Khalid Al-Walid Kementah Tahun 2022/1443H yang dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM di Masjid Khalid Al-Walid.

Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan ini adalah sebagai titik mula pengumpulan dana dan sumber kewangan bagi membiayai program dan aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan.

Selain itu, majlis pada hari ini turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan Tabung Zakat ATM khusus bagi pengimarahan Program Ihya’ Ramadan di masjid-masjid dan surau Angkatan Tentera Malaysia di semua perkhidmatan serta sumbangan daripada Syarikat QSR Brands (M) Holding Bhd dan sumbangan individu. Aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di masjid-masjid dan surau ATM ini adalah bertujuan untuk membina sifat Ehsan dan Taqwa dalam diri setiap warga tentera dan masyarakat awam setempat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab KAGAT khususnya di dalam memperkasakan pensyariatan ibadat puasa yang dituntut sebagai rukun dalam Islam.

Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan ‘Mock Cheque’ sumbangan Tabung Zakat ATM kepada wakil-wakil perkhidmatan untuk masjid dan surau ATM bagi mem-biayai Program Ihya’ Ramadan 1443H. Sumbangan ini adalah mengikut jumlah masjid dan surau dalam semua perkhidmatan di mana setiap masjid diperuntukkan sebanyak RM 1,000 manakala surau sebanyak RM 500.

Turut hadir ke program hari ini adalah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, pegawai-pegawai Kanan ATM serta anggota ATM.