![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 23 Julai 2025- Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 yang berlangsung di Auditorium Air Warfare Centre, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor. Majlis yang telah dihadiri seramai 265 warga TUDM terdiri daripada pelbagai peringkat turut ditayangkan secara langsung ke seluruh Markas, Pangkalan serta unit naungan TUDM di seluruh Malaysia menerusi rangkaian persidangan video bagi memastikan perintah ulung tersebut dapat dihayati dan difahami bersama oleh seluruh warga TUDM.
Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 dizahirkan dengan tujuan untuk memberi panduan, dan rujukan kepada semua lapisan warga TUDM berkenaan hala tuju TUDM di bawah pimpinan beliau sebagai Panglima Tentera Udara. Di dalam ucapannya, beliau berjanji akan melaksanakan tanggungjawab dengan adil, amanah dan berjiwa rakyat serta memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan kudrat fizikal, mental dan kerohanian di dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sempurna. Beliau juga berazam akan meneruskan kecemerlangan TUDM yang telah dirintis oleh kepimpinan panglima-panglima yang terdahulu dan meneruskan usaha demi menzahirkan TUDM sebagai sebuah angkatan yang kredibel dan berupaya sebagai perisai kedaulatan negara.
Beliau juga turut menyatakan bahawa sepanjang menerajui TUDM, kepimpinan yang akan dilaksanakan adalah beraspirasikan kepada dua tokoh besar dalam sejarah islam iaitu Saidina Umar Al-Khattab R.A Dan Saidina Umar Abdul Aziz R.A. Ciri-ciri ketegasan, keberanian, keadilan dan kebijaksanaan yang ada pada kedua-dua tokoh tersebut akan diterapkan dan dipraktikkan kepada warga TUDM.
Seiring dengan persekitaran geostrategik yang dinamik serta perkembangan teknologi semasa, keupayaan kuasa udara dievolusikan sejajar dengan dasar dan Strategi Ketenteraan Negara. Corak ancaman keselamatan serantau dan global tidak lagi boleh dilihat seperti dekad-dekad lalu. Konsep pertahanan kini berorientasikan kepentingan keselamatan, kedaulatan bagi kemakmuran negara. Sebagai satu-satunya ketumbukan kuasa udara Angkatan Tentera Malaysia, TUDM harus terus memperkuatkan langkah menjadi sebuah ketumbukan udara yang sentiasa tangkas dan tegas bagi melindungi kedaulatan serta keutuhan ruang angkasa dan seluruh wilayah negara. Sebagai Perisai Kedaulatan Negara, TUDM akan mengoptimumkan aplikasi keupayaan yang jitu di setiap kawasan berkepentingan dengan menekankan konsep pembangunan Man, Machine dan Method bagi mencapai keberhasilan peranan dan fungsi TUDM di masa aman dan konflik. Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 adalah berteraskan kepada enam tonggak utama untuk mendepani cabaran masa hadapan serta menentukan legasi kegemilangan TUDM. Enam tonggak utama tersebut adalah seperti berikut:
1. Mencapai Keupayaan dan Kesiagaan Tertinggi.
2. Kemampanan Aset Pertahanan Udara.
3. Memperkukuhkan Kecemerlangan Warga.
4. Meningkatkan Dokongan Logistik.
5. Memperkasakan Doktrin dan Prosedur.
6. Melestarikan Warga Udara.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Panglima Tentera Udara berkehendakan agar enam tonggak utama yang digariskan perlu dikupas, difahami, diterap serta dilaksanakan secara holistik di setiap Markas Pemerintahan, Markas Formasi, Pangkalan dan Unit TUDM. Pemahaman warga TUDM terhadap kesemua tonggak akan menjadi asas yang kukuh kepada setiap warga untuk membangun dan meletakkan TUDM ke tahap yang lebih tinggi. Beliau juga turut meletakkan kepercayaan kepada semua pucuk pimpinan dan warga TUDM agar dapat bersama-sama beliau di dalam memastikan TUDM menjadi sebuah angkatan udara yang efektif dan kredibel berpaksikan peranan dan fungsi yang telah ditetapkan.
Perintah Ulung ini dilihat bukan sahaja akan memberi tumpuan terhadap tonggak baharu yang digariskan untuk semua warga TUDM malahan juga akan meneruskan kesinambungan pelan strategik TUDM, ATM dan Kementerian Pertahanan seperti CAP55, Rangka Strategi Ketenteraan Negara serta Kertas Putih Pertahanan yang telah menetapkan tanda aras bagi TUDM khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Haji Mustapha TUDM dan Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.