BANDAR SRI SENDAYAN, 22 Jan 21 – Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM telah menyampaikan Perintah Ulung Panglima Pendidikan dan Latihan Udara di samping perutusan sempena tahun baharu 2021. Perutusan tersebut telah disampaikan secara persidangan video (video conferencing) dari Auditorium Rajawali, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) ke unit-unit naungan di bawah pemerintahan.
Semasa menyampaikan Perintah Ulung, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara telah menggariskan empat (4) teras utama di bawah pemerintahan beliau iaitu:
1. Teras Pertama – Memperkasakan Latihan.
Penekanan kepada hubungan di antara dua (2) elemen iaitu latihan yang tepat dan peralatan yang lengkap adalah sangat signifikan dalam memastikan setiap produk yang dikeluarkan oleh MPPLU dilengkapi dengan sikap, kemahiran dan pengetahuan (attitude, skill and knowledge).
2. Teras Kedua – Meningkatkan Kesiagaan dan Keselamatan.
Kesiagaan merangkumi usaha dalam membentuk warga TUDM yang kompeten, peralatan latihan, pelaksanaan kursus, pentadbiran domestik, kenderaan, kecergasan dan lain-lain aspek berkaitan. Manakala aspek keselamatan perlu diberi perhatian terutamanya dalam konteks keselamatan pangkalan dan pejabat, serta keselamatan anggota.
3. Teras Ketiga – Kepimpinan.
Peranan pemimpin sangat penting di dalam membentuk organisasi yang mampan dan gemilang. Pemimpin perlu sentiasa dinamik supaya proses dan mutu kerja sedia ada dapat ditambahbaik. Pemimpin juga berperanan melatih bakal-bakal pemimpin serta menjadi role model kepada semua lapisan anggota.
4. Teras Keempat – Sejahtera.
Persekitaran tempat latihan hendaklah sentiasa kondusif bagi melaksanakan latihan dan kursus di samping pemeliharaan moral perlu diberi keutamaan. Semua lapisan anggota MPPLU disaran memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti BAKAT Udara seiring dengan tujuan penubuhannya iaitu memberi khidmat kebajikan kepada keluarga angkatan tentera.
Panglima Pendidikan dan Latihan Udara turut mengucapkan tahniah kepada barisan Jurulatih TUDM yang telah memberikan komitmen di dalam mencurahkan bakti dan ilmu untuk para pelatih dan pusat-pusat latihan. Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada AJK Lencana Jurulatih kepada enam pegawai dan sembilan orang staf.
Turut bersama mendengar perintah ulung dan perutusan tahun baharu 2021 ialah Ketua Staf MPPLU, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM; Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Hj Ahmad bin Yusof TUDM; Pengarah Muzium TUDM, Lt Kol Azhar bin Mohd Nor TUDM; Pegawai Memerintah INSMAT, Lt Kol Omar Zai bin Abas TUDM; Pegawai Memerintah INSKEP, Lt Kol Nasruddin bin Khalid TUDM dan pegawai-pegawai eksekutif daripada Pangkalan Udara Sendayan.