KUALA LUMPUR, 14 Apr 23 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah hadir menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Pengarah Sekretariat Markas Tentera Udara (MTU) yang diadakan di Padang Kawad Kem KEMENTAH, hari ini.
Sebaik tiba di medan perbarisan, Timbalan Panglima Tentera Udara telah mengambil tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri daripada 16 pegawai dan 160 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Norazman bin Yatim TUDM selaku Ketua Perbarisan manakala Ajutan Perbarisan ialah Kapt Muhammad Izzudin bin Mohamed Sidek TUDM serta diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM di bawah pimpinan Kapt Sabri bin Hamil TUDM.
Dalam perbarisan penuh bersejarah ini, Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM menyerahkan tugas Pengarah Sekretariat MTU kepada Lt Kol Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM dengan menandatangani dokumen Serah Terima Tugas yang turut disaksikan oleh Asisten-Asisten Ketua Staf, Pengarah-Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan TUDM, para Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat yang bernaung di bawah Markas Tentera Udara.
Setelah Timbalan Panglima Tentera Udara beredar meninggalkan medan perbarisan, Lt Kol Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM telah mengambil tabik hormat daripada anggota perbarisan sebagai Pengarah Sekretariat MTU yang baharu.
Terdahulu, sebelum upacara serah terima tugas berlangsung, Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM telah diraikan dalam Perbarisan Pengarah Sekretariat Markas Tentera Udara sebagai perbarisan terakhir beliau sebelum menyerahkan tugas dan jawatan secara rasmi. Perbarisan berkonsepkan perbarisan statik adalah sebagai penghargaan dan penghormatan daripada seluruh warga Markas Tentera Udara kepada Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM yang telah membuat tugas Ketua Pengarah Sekretariat selama 8 tahun sejak 20 Januari 2015.
Di dalam ucapannya, beliau menekankan kembali 6 tonggak utama di dalam Perintah Ulung PTU Ke-20 untuk TUDM menghadapi cabaran masa hadapan serta menentukan legasi kegemilangan sentiasa terpelihara iaitu Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM, Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi, Pemerkasaan dan Keupayaan Warga Udara, Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi, Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan serta Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga. Beliau turut menyatakan kembali empat faktor utama kepada kejayaan atau "key success factor" yang perlu diberi perhatian oleh warga TUDM iaitu Modal Insan yang Berkualiti, Penjanaan Keupayaan Aset-Aset Udara, Pengurusan Sumber Kewangan yang Berkesan dan Kualiti Kepimpinan Organisasi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan dan menasihati warga TUDM khususnya yang berkhidmat di MTU agar menjadikan disiplin ketenteraan sebagai salah satu elemen utama yang mesti diterapkan dalam diri setiap seorang pegawai dan anggota tentera yang terlatih. Beliau mengingatkan agar semua peringkat warga TUDM mengelakkan diri dari terjebak dengan sebarang pelanggaran disiplin dan kesalahan tatetertib dengan menjauhi dan mengelakkan penyalahgunaan dadah berbahaya dan racun terkawal, Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) dan Tinggal Tugas serta Perjudian termasuk Judi Atas Talian.
Mengakhiri ucapannya beliau menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua peringkat pegawai dan anggota yang telah memberi komitmen penuh dalam penugasan di MTU sepanjang beliau menjawat jawatan Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara. Beliau juga mengucapkan selamat datang kepada semua pegawai dan anggota yang baru bertukar masuk ke MTU serta meminta agar dapat memberikan komitmen kerja yang terbaik kepada Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara yang baharu. Beliau berharap saya agar semua pegawai dan anggota MTU berganding bahu dalam melaksanakan tugas yang telah diamanah dan dipertanggungjawabkan dengan ikhlas agar dapat meneruskan tradisi kecemerlangan sebelum ini. Tidak lupa juga beliau mengucapkan selamat berpuasa yang memasuki 23 Ramadan 1444H dan ucapan Selamat Hari Raya yang akan disambut tidak lama lagi.
Seluruh warga TUDM amnya dan MTU khususnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM atas segala sumbangan jasa dan bakti yang dicurahkan selama 42 tahun perkhidmatan beliau di dalam TUDM. Semoga dikurniakan ganjaran pahala atas segala pengorbanan dan khidmat yang diberikan. Ucapan tahniah, selamat bertugas dan selamat maju jaya juga diucapkan kepada Lt Kol Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM sebagai Pengarah Sekretariat MTU yang baharu.