KUALA LUMPUR, 22 Sep 20 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini menghadiri Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-87 bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur. Terlebih dahulu beliau menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan diikuti Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Darat.
Perbarisan pada pagi tadi telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM. Beliau menerima tabik hormat diikuti terbang lintas hormat empat (4) buah pesawat helikopter ATM yang membawa bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Kapten Khairul Ridhuan bin Ramlee TUDM seterusnya memeriksa perbarisan.
Dengan tema Hari ATM Ke-87 iaitu ‘Kedaulatan Negara, Tanggungjawab Bersama’, acara perbarisan pada tahun ini dilaksanakan mengikut norma baharu dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan berikutan negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Acara pada hari ini juga tidak melibatkan jemputan pihak luar seperti Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan, Penasihat Tentera Negara Asing, mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera serta veteran ATM sepertimana kelaziman sambutan terdahulu kerana mengambil kira situasi COVID-19 yang melanda negara.
Konsep perbarisan pada tahun ini adalah berkonsepkan perbarisan tempur statik yang melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebanyak 12 Detasmen dengan penglibatan 51 pegawai dan 907 anggota lain-lain pangkat berada dalam komposisi 6 Detasmen TDM serta masing-masing 3 Detasmen dari TLDM dan TUDM. Tiga (3) Detasmen Wanita mewakili setiap perkhidmatan ATM dari keseluruhan Detasmen turut menjayakan perbarisan kali ini. Dalam pada itu terdapat juga penglibatan beberapa aset ATM diperagakan di Padang Kawad Dataran PTD.
Perbarisan kali ini diketuai oleh Lt Kol Mohd Fuad bin Md Ghazali dari Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja serta diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat ATM yang dipimpin oleh Mejar Muhamad Nor Azizan bin Yahya.
Acara Perbarisan Hari ATM ke-87 ini turut diisi dengan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara, Penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera kepada wakil Petugas Barisan Hadapan COVID-19 (ATM) yang terlibat dalam OP PENAWAR dan OP BENTENG serta Penyampaian Buku Pelan Anti Rasuah kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan bersempena dengan Pelancaran Pelan Anti Rasuah ATM.
Panglima Angkatan Tentera dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga pada hari yang bersejarah ini kerana perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia terus kekal berdiri teguh, disamping berjaya meraih pelbagai kejayaan berterusan berkat kegigihan dan komitmen tinggi warganya dalam menggalas tanggungjawab berat, khususnya kepada negara yang tercinta ini.
Tambah beliau lagi, sebagai benteng pertahanan negara, warga ATM hendaklah sentiasa bersedia pada sebilang masa serta tidak boleh leka dan lalai ketika melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani persekitaran keselamatan serantau dan global yang tidak menentu ini. Meskipun berhadapan dengan halangan atau cabaran yang mendatang, aspek pertahanan negara hendaklah dahulukan.
Beliau juga turut mengingatkan kepada warga ATM agar kekal fokus dengan Empat Teras Keutamaan yang telah digariskan dalam perintah ulung beliau bagi menjadikan ATM sebagai satu ketumbukan yang berspektrum penuh (full spectrum), yang holistik dan mampan iaitu:
1) Memperkasakan Kesiagaan Aset,
2) Memperkasa Warga Angkatan Tentera Malaysia Yang
Cemerlang,
3) Mengukuhkan Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam Domain Siber, dan
4) Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.
Majlis berakhir di Wisma Perwira TD dengan acara memotong kek sempena Hari ATM Ke-87. Turut hadir ke perbarisan ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; para pegawai kanan TUDM dan anggota termasuk dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan.