LABUAN, 27 Jun 21 – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Labuan (HM ATM Labuan) telah memulakan operasinya secara rasminya pada 27 Jun 21. HM ATM Labuan ini merupakan hospital medan yang menempatkan pesakit-pesakit kritikal Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 serta mampu menampung kapasiti sebanyak 60 buah katil termasuk 4 buah katil ICU. Jumlah bilangan katil di HM ATM Labuan ini akan ditambah mengikut keperluan semasa yang mampu memuatkan jumlah maksimum 90 buah katil.
Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig Jen Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM telah dilantik sebagai Pemerintah Operasi HM ATM Labuan. Kol Dr. Mohd Hafizi bin Abdullah telah dipertanggungjawabkan sebagai Komander Operasi HM ATM Labuan manakala Mej Dr. Narimah binti Abdul Hamid sebagai Timbalan Komander Operasi.
Penubuhan HM ATM Labuan ini merupakan satu langkah usaha kerajaan bagi mengurangkan beban Hospital Labuan dalam mengurus dan merawat pesakit-pesakit Covid-19. Penugasan HM ATM Labuan ini merupakan gabungan pelbagai agensi yang terdiri daripada pihak ATM, KKM Labuan, Mobilisasi KKM dari Sabah, Sarawak, Pahang, Perlis, MERCY dan lain-lain.
Perasmian pengoperasian HMATM Labuan ini telah disempurnakan Pemerintah Operasi, Brig Jen Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan telah mula menerima kemasukan seramai 7 orang pesakit Covid-19. Turut sama hadir ialah Dr.Ismuni bin Bohari, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan; Timbalan Pengarah Hospital Labuan, Wakil Perbadanan Labuan dan wakil MERCY.
Moto bagi HM ATM Labuan ini adalah 'Gembleng Tenaga, Kita Berjaya'.