Kuala Lumpur, 22 Okt 20 –Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyertai “17th ASEAN Air Chiefs Conferences (AACC)” yang diadakan secara persidangan video langsung dari Bilik Mesyuarat Panglima Tentera Udara. Persidangan kali ke-17 ini dianjurkan oleh Vietnam Air Defence-Air Force turut disertai secara persidangan video melibatkan 10 pemerintah tertinggi angkatan udara negara-negara ASEAN.
Persidangan yang bertemakan, “Asean Air Forces: Cohesive and Responsive” berlangsung hampir tiga (3) jam memfokuskan kepada kerjasama di antara tentera udara negara-negara ASEAN di dalam mengukuhkan kerjasama pertahanan, bantuan kemanusiaan dan pemulihan bencana (HADR) serta pembangunan bersama angkatan udara ASEAN.
Persidangan kali ini adalah persidangan kali pertama AACC yang diadakan secara persidangan video berikutan pandemik Covid-19. Persidangan ini juga menjadi platform di dalam mengeratkan hubungan diplomatik yang sekian lama terjalin di antara Panglima Tentera Udara negara-negara ASEAN dan mencapai resolusi terbaik bagi perkara-perkara yang dibincangkan.