MELAKA, 18 Ogos 2022 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah memenuhi undangan daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) ke Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) Tahun 2022 yang diadakan di Lapang Sasar, Kem Terendak, Melaka. Beliau juga turut menyertai Acara Novelti Jatuh Piring Pistol dan Raifal yang melibatkan pasukan daripada pegawai-pegawai kanan TDM serta jemputan TLDM, TUDM dan APMM. Turut bersama beliau menyertai acara menembak ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Mahadzer bin Amin TUDM dan Panglima Rejimen TUDM, Brig Jen Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM.
UKMTD Tahun 2022 yang diadakan bermula 12 Ogos 2022 secara rasminya telah melabuhkan tirainya pada hari ini. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zamrose bin Mohd Zain sejurus selepas selesai Acara Novelti Jatuh Piring Pistol dan Raifal yang melibatkan para jemputan.
Persaingan sengit di antara pasukan pegawai-pegawai kanan ini membuktikan pemimpin tertinggi ATM sentiasa mempersiapkan diri dengan menguasai teknik menembak dan ini wajar dijadikan contoh oleh setiap lapisan warga ATM. Ujian kemahiran menembak ini menekankan kepada aspek memantapkan kompetensi diri dengan pengetahuan dan kemahiran ketenteraan. Pertandingan UKMTD kali ini turut melibatkan acara Menembak Lorong Hutan, Pistol, Raifal lelaki dan Wanita, Jatuh Piring, Team Mesingan Kegunaan Am, Team Mesingan Ringan dan Serangan Seksyen. Dalam UKM TD 2022, 10 Briged (PARA) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Turut hadir ke UKMTD ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Haji Ayob serta pegawai-pegawai kanan dari TDM dan agensi jemputan.