MELAKA, 28 Nov 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah merasmikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 2/22. Di dalam ucapan perasmian, beliau terlebih dahulu merakamkan penghargaan di atas kehadiran barisan kepimpinan TUDM di peringkat strategik, operasi dan taktikal ke mesyuarat kali ini.
Beliau juga mengharapkan dengan perubahan kerajaan baharu pada 24 Nov 22 dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 serta suasana politik yang baharu akan dapat mendukung aspek pembangunan keupayaan pertahanan dalam memperkasakan ATM secara amnya dan TUDM secara khususnya. Sesungguhnya sokongan yang jitu daripada pihak kerajaan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan organisasi TUDM terutamanya di dalam memudahkan proses perancangan perolehan aset baharu dan naik taraf keupayaan aset sedia ada selari dengan Pelan Strategik CAP55. Selain daripada itu, ketidaktentuan persekitaran sejagat dan serantau yang turut memberikan kesan kepada keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang mana TUDM sentiasa perlu bersiap sedia di dalam mendepani sebarang kesan daripada situasi semasa geopolitik dan geostrategik di peringkat global dan serantau.
Panglima Tentera Udara berharap agar persidangan kali ini lebih memfokuskan kepada aspek-aspek penting yang perlu diberikan perhatian dan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih signifikan ke hadapan. Semua ahli persidangan juga diharap dapat bersama-sama menyumbangkan percambahan idea dan berkongsi pandangan untuk penghasilan resolusi yang lebih jitu dan efisien.
Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara yang dikoordinasi oleh Markas Tentera Udara - Sekretariat merupakan platform atau wadah untuk semua pemerintah berinteraksi, bertukar pendapat serta membincangkan perkara-perkara melibatkan hala tuju TUDM serta memacu TUDM ke landasan yang tepat bagi mencapai misi dan visi TUDM.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima-Panglima Wilayah Udara, Asisten-Asisten Ketua Staf, Komander-Komander Pangkalan, Komandan Kolej dan Akademi serta pegawai-pegawai kanan TUDM.
#SentiasaDiAngkasaRaya
#MesyuaratPemerintahanPTU