KUALA LUMPUR, 26 Nov 20 – Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah merasmikan dan mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 2/2020 yang diadakan secara maya melalui persidangan video langsung dari Bilik Mesyuarat PTU. Mesyuarat Pemerintahan PTU siri kedua ini telah berlangsung selama dua hari bermula 25 Nov 20 hingga 26 Nov 20 dan julung kalinya diadakan secara maya (video conferencing) ke markas-markas, pangkalan dan unit-unit TUDM berikutan cabaran pandemik Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Panglima Tentera Udara menaruh keyakinan yang tinggi dengan penyertaan semua panglima-panglima termasuk panglima-panglima wilayah, Asisten-asisten Ketua Staf, Komander Pangkalan, Pegawai Memerintah serta pegawai-pegawai staf mengadaptasi dan menjadikan pelaksanaan mesyuarat secara norma baharu. Meskipun mesyuarat tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyumbangkan buah fikiran, bertukar pandangan serta berkongsi ilmu bagi mencapai resolusi yang terbaik untuk TUDM khususnya dan ATM amnya.
Di dalam ucapannya juga, PTU mengakui cabaran yang perlu ditempuhi oleh TUDM dan negara pada tahun 2020 yang berdepan dengan ‘unprecedented event’ namun TUDM masih mampu melaksanakan semua misi dan tugas yang diamanahkan dengan baik sebagai ‘frontliners’ di dalam melandaikan lengkung penularan, penghantaran bekalan perubatan dan makanan melalui udara serta melaksanakan kawalan persempadanan negara melalui pengawasan maritim udara. Kesemua misi yang dilaksanakan membuktikan kewibawaan TUDM sebagai tonggak kuasa udara yang berupaya bersiaga di dalam menjaga kedaulatan negara.
Pada hari pertama mesyuarat kali ini, beberapa pembentangan telah disampaikan oleh wakil-wakil yang dikenalpasti. TUDM juga tidak terkecuali berdepan dengan kekangan peruntukan kewangan berikutan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada awal tahun serta ditambah dengan pandemik Covid-19 yang memberikan impak kepada negara dan TUDM sendiri melibatkan perolehan aset dan pembinaan infra turut terkesan. Begitu juga kesan ke atas beberapa perancangan seperti eksesais, latihan dan kursus yang terpaksa ditunda dan dibatalkan. Melalui mesyuarat ini, perkembangan semasa melibatkan implikasi kewangan turut dibincangkan.
Selain daripada itu, taklimat pencapaian teras perintah ulung PTU turut dibentangkan bertujuan untuk mengemaskini pencapaian semasa dan membuat penjajaran semula bagi elemen-elemen tertentu. Pembentangan turut memfokuskan kepada teras ketiga iaitu pemantapan keupayaan senggaraan TUDM serta pembentangan yang menyentuh isu-isu semasa merangkumi keselamatan serantau (security). Mesyuarat pada hari kedua pula diteruskan dengan pembentangan taklimat penubuhan organisasi HANDAU serta pembentangan taklimat berkenaan dasar pelaksanaan perlanjutan tempoh perkhidmatan anggota.
Selain itu, menyedari penggunaan teknologi satelit di dalam dunia ketenteraan adalah sangat penting terutamanya di dalam bidang perisikan, navigasi dan komunikasi, satu taklimat khas mengenai ‘Satellite Utilization For Military Application’ telah disampaikan oleh Kol (K) Dr Nafizah bt Goriman Khan PSSTUDM iaitu Pensyarah Kanan dalam bidang telekomunikasi, komunikasi digital dan komunikasi mobile dari University of Nottingham Malaysia. Ini adalah seiring dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi agar TUDM dapat bergerak seiring dengan perubahan dan persaingan dunia masa kini.
Semasa mesyuarat ini juga, turut diadakan bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Agama MTU, Lt Kol Hj Sukri bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan termasuk keselamatan penerbangan, terlindung daripada ancaman wabak penyakit berbahaya, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan rahmat dan perlindungan dari Allah SWT agar seluruh warga TUDM khususnya dan rakyat Malaysia amnya sentiasa di dalam keadaan selamat dan sejahtera serta doa kepada mantan dan bekas anggota TUDM dan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.
Turut sama bersama PTU dalam mesyuarat ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Hj Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Mohamad Norazlan bin Aris TUDM dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohammad Shahada bin Ismail TUDM.
Di akhir mesyuarat ketika ucapan penggulungan, Panglima Tentera Udara menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama beliau menjayakan mesyuarat dua hari secara maya. Mesyuarat kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta menjana idea-idea baharu ke arah memacu TUDM ke landasan yang tepat untuk mencapai visi menjadi kuasa udara yang dominan.