PULAU PINANG, 16 Nov 22 – Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Air Commander Australia (ACAUST), AVM Darren Goldie telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Bilateral Siri 14/22 Air Staff Talks di antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Royal Australian Air Force (RAAF) pada 15 hingga 17 Nov 22 di Flamingo Hotel, Pulau Pinang.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh delegasi TUDM dari Bahagian MTU-BOS, MTU-P&P, MTU-Latih, MTU-Kejuruteraan, MPPLU, DGTA, MPOU-AWC dan Pasukan Khas TUDM. Delegasi RAAF pula terdiri daripada Penasihat Pertahanan Australia, pegawai kedutaan, pegawai staf Malaysia Australia Joint Defence Progran (MAJDP) dan pegawai International Engagement Office. MTU-BOS telah bertindak sebagai Sekretariat mesyuarat.
Mesyuarat kali ini telah dilaksanakan secara bersemuka setelah dua siri sebelum ini dilaksanakan secara maya disebabkan oleh kekangan pandemik Covid-19. Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk merancang dan mengkoordinasi inisiatif masa hadapan bagi memastikan program kerjasama pertahanan antara TUDM dan RAAF berjalan lancar dan bermanfaat kepada kedua-dua pihak. Mesyuarat bilateral ini juga merupakan platform bagi mengeratkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin baik serta profesional di antara kepimpinan serta pegawai dan anggota TUDM dan RAAF.
Mesyuarat ini juga menjadi medium bagi peluang pertukaran maklumat dan perkongsian pandangan berkaitan pelan pembangunan keupayaan angkatan serta " best practice" di dalam merencana pembangunan masa hadapan kedua-dua angkatan udara. Di samping itu, delegasi TUDM dan RAAF telah berjaya merencanakan program Security Confidence Building Measure meliputi perancangan operasi dan eksesais, latihan, pertukaran pegawai/anggota serta program lawatan oleh pucuk pimpinan kedua-dua pihak.
Di akhir sesi mesyuarat, kedua-dua pengerusi bersama menyatakan harapan agar hubungan baik antara kedua angkatan udara ini dapat diteruskan demi kebaikan bersama serta membantu memperkukuh keamanan serantau. Kedua-dua sekretariat juga diharapkan dapat terus memberikan komitmen yang tinggi di dalam melaksanakan program yang telah direncanakan bagi memperkasakan modal insan dan mempertingkatkan kesiagaan angkatan.