MESYUARAT AGUNG TAHUNAN JEMAAH BAKAT UDARA TAHUN 2022 BERI PENEKANAN KEPADA AGENDA KEBAJIKAN

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SHAH ALAM, 9 Apr 22 - Bertempat di Rumah BAKAT Udara, Mesyuarat Agung Tahunan Jemaah BAKAT Udara Tahun 2022 telah dilaksanakan. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, selaku Pengerusi Jemaah BAKAT Udara dan dihadiri semua ahli mesyuarat yang terdiri daripada 21 Jemaah BAKAT Udara dan 17 Pengerusi-pengerusi BAKAT Udara di peringkat Markas, Pangkalan dan Unit serta turut dihadiri oleh Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM selaku Penasihat BAKAT Udara.

Mesyuarat yang bermula jam 9.00 pagi adalah mesyuarat yang pertama dipengerusikan oleh Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, selaku Pengerusi Jemaah BAKAT Udara yang baharu mengambil alih jawatan pada 4 Mac lalu dan menjadi platform untuk mengenali dengan lebih dekat semua ahli mesyuarat yang hadir. Mesyuarat agung tahunan juga telah membuat penetapan dan pelantikan Ketua-Ketua Biro dan AJK Kerja yang baharu bagi tahun 2022.

Di dalam mesyuarat ini, Pengerusi Jemaah BAKAT Udara di dalam ucapannya memberikan penekanan kepada semua terhadap teras penubuhan BAKAT iaitu memfokuskan kepada agenda Kebajikan melibatkan ahli BAKAT Udara serta keluarga. Beliau berharap semua Jemaah, Pengerusi-pengerusi BAKAT Markas, Pangkalan dan Unit menghayati dan mendalami objektif penubuhan BAKAT agar BAKAT Udara sentiasa berjalan d iatas landasan yg betul dan memberikan manfaat kepada semua ahlinya.