KUANTAN, 12 Okt 2020 - Majlis Perasmian Pembukaan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) 7/20 telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara (PANGOP), Lt Jen Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM bertempat di Auditorium Bomba, Pangkalan Udara Kuantan (PU Kuantan) hari ini. Mendepani cabaran COVID-19, majlis perasmian pembukaan eksesais turut disiarkan secara terus secara persidangan video (VC) ke Markas Wilayah Udara (MAWILUD) 2 dan pangkalan-pangkalan udara utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Terdahulu, ketibaan Panglima Operasi Udara bersama delegasi telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Mohd Fadzil bin Mohd Diah TUDM selepas melalui proses disinfeksi dan pemeriksaan suhu (thermal scanner) di Bangunan Pergerakan Udara, PU Kuantan sebagai SOP pencegahan COVID-19. Seterusnya, PANGOP telah menerima hormat daripada Kawalan Kuarter PU Kuantan sebelum dibawa ke Auditorium Bomba untuk Majlis Perasmian Eksesais PARADISE 7/20.
Di dalam ucapan perasmian eksesais, Panglima Operasi Udara menyentuh tentang ciri-ciri kepimpinan yang baik iaitu kompeten (competent), profesionalisme dan dipercayai (reliable). Menurut beliau, seorang pemimpin harus mampu meyakinkan orang yang dipimpin (art of influence) di dalam melaksanakan sesuatu tugas dengan meyakinkan mereka kenapa sesuatu tugas atau perkara tersebut perlu dilaksanakan (sense of purpose) seperti yang ditekankan oleh Panglima Tentera Udara.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tidak dicapai dengan mudah tanpa disertai komitmen, kerjasama berpasukan, strategi yang betul serta keyakinan. Maka, semua warga TUDM khususnya diumpamakan berada di bawah satu bumbung dan perlu bekerjasama dalam apa juga tugas yang dilaksanakan. Gabungan elemen udara seperti pejuang, helikopter, mobiliti dan elemen dukungan daratan akan menyerlahkan potensi dan meningkatkan prestasi apabila tugasan yang melibatkan pelbagai kemahiran, pengalaman dan penilaian digabungkan.
Menurut beliau lagi, berikutan situasi negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19, eksesais pada kali ini hanya melibatkan elemen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu “Single Service” tanpa sebarang penglibatan elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Meskipun dilaksanakan dalam skala kecil, eksesais ini akan terus menjadi platform terbesar TUDM di dalam menambah baik prosedur dan tahap profesionalisme setiap anggota serta memastikan aset TUDM berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi memastikan pertahanan negara sentiasa terjaga.
Majlis pembukaan turut dihadiri oleh Mejar Jeneral Dato’ Zulkifli bin Hamid TUDM, Panglima Wilayah Udara 1; Mejar Jeneral Felix Gonsalvez TUDM, Ketua Staf, Markas Pemerintahan Operasi Udara merangkap Pengarah Eksesais Paradise 7/20; pegawai-pegawai kanan serta anggota TUDM.