MAJLIS PENYAMPAIAN SAYAP PENERBANGAN BAGI KURSUS ASAS JURUTERA PENERBANGAN SIRI 1/19, KURSUS PERALIHAN JURUSENSOR SENJATA SIRI 13/20 DAN KURSUS KUARTERMASTER UDARA SIRI 2111/20

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 28 Jan 22 - Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Asas Jurutera Penerbangan (JP) Siri 1/19, Kursus Peralihan Jurusensor Senjata (JSS) Siri 13/20 dan Kursus Kuartermaster Udara Siri 2111/20 telah berlangsung hari ini bertempat di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang (PU Subang). Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM kepada 22 pelatih terdiri daripada dua (2) orang penuntut Kursus Asas Jurusensor Senjata Pesawat F/A-18D Siri 13/20, dua (2) orang penuntut Kursus Asas Jurutera Penerbangan Siri 01/19 Pesawat C130H No. 20 Skuadron, sembilan (9) orang penuntut Kursus Kuartermaster Udara Peningkatan Kelas II Siri 01/21 Pesawat C130H No. 20 Skuadron dan sembilan (9) orang penuntut Kursus Kuartermaster Udara Siri 2111/20 Pesawat EC 725 AP No. 10 Skuadron.

Kursus-kursus ini telah disertai pelatih yang terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) serta turut disertai oleh empat (4) anggota LLP daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Latihan asas penerbangan yang telah dilaksanakan bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam meneruskan kerjaya sebagai seorang anak kapal. Oleh itu, ianya memerlukan pengorbanan, semangat waja serta iltizam yang tinggi sepanjang menjalani latihan asas penerbangan ini.

Bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pelatih, Anugerah Penuntut Kursus Terbaik bagi setiap kursus telah dipertandingkan. Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Lt Ahmad Nazhan bin Ahmad Nazrin TUDM, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan dan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus Peralihan Jurusensor Senjata.

7 8 9
10 11 12

 

Bagi Penuntut Terbaik Kursus Asas Jurutera Penerbangan telah dirangkul oleh Lt Amiruddin bin Abd Samian TUDM,anak kelahiran dari negeri Melaka, juga graduan UPNM. Bagi Penuntut Terbaik Kursus Kuartermaster Udara Peningkatan Kelas II Pesawat C130H pula telah dinobatkan kepada Sjn U Muhammad Hilmi bin Shamsul Kamar yang berasal dari Ipoh, Perak dan Penuntut Terbaik bagi Kursus Kuartermaster Udara Pesawat EC 725 AP disandang oleh Sjn U Ammar bin Ahmad Hasan Shamsuri.

Panglima Operasi Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penuntut yang berjaya menamatkan kursus masing-masing. Sesungguhnya impian untuk menjadi sebahagian daripada aset negara telah dapat direalisasikan kerana komitmen dan usaha yang berterusan dari semua pihak. Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan semua pegawai-pegawai memerintah skuadron yang terlibat, jurulatih-jurulatih penerbangan, dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kursus tersebut. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga daripada beliau kepada seluruh warga Markas Wilayah Udara 1 serta Pangkalan Udara Subang yang telah berganding bahu bagi menjayakan upacara penyampaian sayap pada hari ini.

13 14 15


Beliau turut mengingatkan, pemakaian sayap ini merupakan satu titik mula untuk berkhidmat sebagai anak kapal tentera. Proses pembelajaran bagi mencapai matlamat kecemerlangan yang berterusan tidak akan terhenti malah pada peringkat yang seterusnya, kesemua mereka bakal menempuhi suasana yang berbeza serta lebih mencabar untuk melengkapkan kepakaran sebagai anak-anak kapal berstatus ‘combat ready’. Tambah beliau, dalam menghadapi perubahan dinamik peperangan udara era moden pada masa kini, kemampuan dan kepakaran dalam mengendalikan pesawat-pesawat yang serba moden dan berteknologi tinggi merupakan satu kemestian bagi setiap anak kapal tentera. Justeru itu, segala ilmu dan latihan yang telah diperolehi hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin supaya aspirasi kecemerlangan sebagai sebahagian daripada peneraju aset tentera dapat dicapai sepenuhnya.

Turut serta di majlis bersejarah ini ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM; Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM; Komander Pangkalan Butterworth, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM, pegawai-pegawai kanan TUDM, wakil-wakil Pegawai Memerintah Skuadron 501 dan Skuadron 502 TLDM dan barisan jurulatih kursus.