SUBANG, 15 Okt 20 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM secara rasminya menutup tirai Mesyuarat Pemerintahan Panglima Bantuan Udara Siri 1/2020 yang berlangsung di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Pangkalan Udara Subang pada 14 dan 15 Okt 20.
Panglima Tentera Udara dalam ucapan penutup beliau menyatakan bahawa pelaksanaan mesyuarat pemerintahan ini akan menjadi forum yang terbaik untuk berinteraksi serta merangka pelan-pelan tindakan, menilai dan meletakkan hala tuju dan keazaman yang baharu untuk TUDM semasa negara berdepan dengan wabak pendamik COVID-19. Perkara ini sekaligus diharap dapat menjana idea baru dan menetapkan hala tuju MPBU dalam mengharungi cabaran domestik dan globalisasi seiring dengan keperluan semasa.
Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM merakamkan ucapan terima kasih kepada Panglima Tentera Udara kerana sudi hadir dan merasmikan penutup mesyuarat pemerintahan tersebut.
Hadir sama di majlis penutup mesyuarat pemerintahan ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM.