MAJLIS PENGURNIAAN AMPUN KURNIA DARIPADA KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEPADA ANGGOTA, WARIS DAN BALU MANGSA INSIDEN KEMALANGAN SEMASA MENJALANI LATIHAN MENEMBAK SENJATA BANTUAN DAN BOM LEMPAR

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

SENDAYAN, 9 Ogos 23 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjunjung kasih atas keprihatinan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pengurniaan Ampun Kurnia kepada anggota, waris dan balu kepada mangsa insiden kemalangan semasa menjalani latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar yang berlaku pada 25 Jun 23 lalu. Majlis pengurniaan Ampun Kurnia disampaikan melalui Juruiring KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Dato' Mohamed Zahari bin Dato' Hj Yahya TUDM. Turut hadir ialah Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara yang juga mewakili Panglima Tentera Udara.

Majlis Pengurniaan Ampun Kurnia diadakan di Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU), Pangkalan Udara Sendayan kepada jurulatih iaitu Koperal Udara Khairuzaman bin Lokman yang mengalami kecederaan pada mata dan kepada waris kepada Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal bin Masdi, penuntut yang terkorban dalam latihan tersebut iaitu bapa, Encik Masdi bin Md Isa dan ibu, Puan Rozanah binti Mustafa.

Seterusnya Pengurniaan Ampun Kurnia kepada balu kepada Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib bin Bidin, Jurulatih Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan iaitu Puan Nur Faziera binti Izam diadakan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), PU Sendayan.

Turut hadir di majlis ini, Brigedier Jeneral Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM, AKS Tadbir; Brigedier Jeneral Abdul Halim bin Othman TUDM, Ketua Staf MPPLU; Kolonel Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM, Komander PU Sendayan; Kolonel Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM, Pengarah Sekretariat Markas Tentera Udara; Leftenan Kolonel Johan Wahidi bin Mohd Arip TUDM, Pegawai Memerintah INSTAR; pegawai-pegawai kanan TUDM serta eksekutif markas dan pangkalan. Dalam insiden kemalangan pada 25 Jun 2023 lalu, tiga warga TUDM iaitu seorang penuntut dan seorang jurulatih meninggal dunia manakala seorang jurulatih mengalami kecederaan di bahagian mata semasa menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23 di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan.

Pengurniaan Ampun Kurnia daripada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong merupakan kurniaan yang menzahirkan keprihatinan dan penghargaan Baginda Tuanku kepada warga TUDM khususnya mereka yang berkhidmat dengan taat setia untuk negara. Kurniaan ini juga menjadi sokongan moral dan semangat kepada anggota serta waris yang ditimpa ujian tersebut. Usai majlis, hadirin turut sama mengaminkan doa yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Salahuddin bin Safeie, PS 1 Agama MTU memohon dicucuri rahmat kepada kedua Allahyarham yang terkorban, ketabahan dan kesejahteraan kepada anggota dan waris yang diduga ujian kematian dan kecederaan serta keberkatan kepada semua yang hadir.

Menjunjung Kasih Tuanku.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer