PUTRAJAYA, 14 Nov 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Majlis Pemasyhuran Hall of Fame Ke-15 Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kepada Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain. Majlis yang diadakan di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya pada pagi ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.
Hall of Fame MTAT yang ditubuhkan pada tahun 2004 merupakan platform untuk memberi pengiktirafan yang berprestij kepada pegawai terbilang yang telah mencapai merit jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan masing-masing atau yang pernah memegang jawatan yang setara dengan pangkat atau tanggungjawab dalam organisasi lain.
Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose telah berkhidmat dengan Tentera Darat Malaysia selama lebih daripada 41 tahun. Beliau telah dinaikkan pangkat ke Jeneral dan memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat Ke-28 pada 11 Jun 2020 atas kepimpinan, perkhidmatan dan dedikasinya yang cemerlang. Beliau juga merupakan alumni MTAT, setelah lulus dengan kohort tahun 1996.
Majlis pemasyhuran ini telah dihoskan oleh Komandan MTAT, Brigedier Jeneral Dato’ Hj Semaon bin Hj Marjuki dan turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Maktab (Board of Governors); Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Pegawai-Pegawai Kanan serta peserta Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 51/2022.
Sekalung tahniah kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain atas pencapaian terbaik sehingga dianugerahkan sebagai ahli Hall of Fame Ke-15 yang terukir sebagai sejarah baharu MTAT hari ini.