![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara Ke-20, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan telah diraikan dalam satu Majlis Makan Beradat sempena persaraan beliau yang diadakan di Sunway Resort Hotel, Selangor hari ini.
Majlis bersejarah dan penuh istiadat ketenteraan ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti, pengorbanan dan kepimpinan cemerlang beliau sepanjang 42 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya. Ia merupakan manifestasi penghormatan tertinggi kepada seorang pemimpin yang telah banyak mencurahkan khidmat bakti ke arah memperkasa dan memartabatkan TUDM di peringkat nasional serta antarabangsa.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Panglima Tentera Udara, pelbagai inisiatif dan pembangunan strategik telah dilakar termasuk perolehan aset udara, peningkatan keupayaan operasi dan pengukuhan kerjasama pertahanan serantau serta global. Di bawah kepemimpinan beliau juga, TUDM telah berjaya meraih beberapa kejayaan dan pencapaian dalam aspek kesiagaan, latihan dan profesionalisme warga udara.
Majlis ini telah dikoordinasikan oleh Mes Wira Angkasa (MWA) yang diterajui oleh Mej Jen Mohd Sani bin Omar TUDM selaku Yang di-Pertua MWA dan dihadiri seramai 501 tetamu terdiri daripada pegawai-pegawai kanan TUDM bersama pasangan. Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada Badan Kesenian Tentera Udara (BKTU) serta Kombo Seni Udara di bawah koordinasi Lt Kol Mohd Rizal bin Mohd Noor TUDM selaku Pengarah MUKES.
Dalam majlis yang penuh gilang-gemilang ini, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM bersama isteri, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada mantan Panglima Tentera Udara ke-20 dan isteri yang diraikan pada hari ini. Selain itu, sebagai simbol penghargaan dan kenang-kenangan Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah berbesar hati menyampaikan naskhah memoir kepada pucuk pimpinan tertinggi TUDM yang baharu.
Turut hadir dalam Majlis Makan Beradat adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan isteri, Datin Maznah binti Hj Johari; Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Pahlawan Lynette binti Tan Sri Mohamed; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Datin Dewimastura binti Tumiran; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Lt Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM dan isteri, Datin Aida binti Ibrahim; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato' Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan isteri, Datin Zaity Junaida binti Mohd Zaki; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM dan isteri Datin Nor Asmah binti Hj Hashim; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Norli Hisham bin Alwi TUDM dan isteri, Datin Hjh Ros Hana binti Ariffin serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.