MAJLIS MAKAN BERADAT SEMPENA HARI ULANG TAHUN TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA KE-64

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini melaksanakan Majlis Makan Beradat bersempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-64 yang diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.

Majlis dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Indera Dr Hajjah Sorayah binti Sidek; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM dan isteri, Datin Indera Hajjah Nazriah binti Hj Mahmod; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Indera Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM, dan isteri Datin Dr Halina binti Harun; Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewi Mastura binti Tumiran; Panglima-Panglima Formasi bersama isteri;Komander Pangkalan, Komandan, Pegawai Memerintah, para pegawai TUDM serta pasangan masing masing.

7 8 9
10 11 12

 

Sebaik ketibaan Panglima Tentera Udara dan isteri, acara dimulakan dengan upacara memotong kek Hari Ulang Tahun TUDM Ke-64 disempurnakan oleh beliau berserta Timbalan Panglima Tentera Udara dan Panglima-panglima Pemerintahan kemudiannya diteruskan dengan Makan Beradat. Penganjuran majlis dikendalikan oleh Mes Wira Angkasa (MWA) di bawah pentadbiran Yang Dipertua Wisma, Brig Jen Mohd Sani bin Omar TUDM; Timbalan YDP MWA, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM dan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik serta Penasihat iaitu Timbalan Panglima Tentera Udara.

Para tetamu yang hadir juga dipertontonkan dengan montaj sambutan Hari Ulang Tahun TUDM yang memfokuskan kepada enam tonggak di dalam Perintah Ulung PTU serta bertepatan dengan tema sambutan iaitu ”Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” yang disediakan oleh Bahagian Perhubungan Awam TUDM.

13 14 15
16 17 18
19 20 21

 

Di majlis ini, Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya melahirkan rasa puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, TUDM dapat bersama – sama meraikan Majlis Makan Malam Rejimental sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-64 pada tahun ini setelah dua tahun ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 yang membataskan sambutan diadakan. Beliau serta seluruh pucuk pimpinan TUDM juga menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada semua pegawai dan warga TUDM yang telah menjayakan Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-64 pada 1 Jun baru-baru ini dengan penuh gilang gemilang. Istiadat perbarisan lebih bermakna dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke istiadat perbarisan tersebut.

Selain itu, ucapan terima kasih serta penghargaan juga kepada kerajaan yang telah dan sentiasa memberikan sokongan daripada segi peruntukan yang disalurkan, kelulusan perolehan aset-aset baru serta keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota ATM umumnya dan TUDM khususnya. Beliau turut menyeru agar semua warga udara terus bersatu hati menggembeleng tenaga dan berusaha keras dalam memastikan segala perancangan yang telah dibuat dapat dilaksanakan dengan baik di dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan pencapaian TUDM.

22 23 24
25 26 27
28 29 30

 

Tidak dilupakan, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para isteri termasuk atas sokongan yang diberikan oleh seorang isteri yang amat memahami tugas dan tanggungjawab para suami dan sentiasa berdiri teguh dalam apa jua keadaan dan rintangan yang dihadapi disamping peranan sebagai ahli BAKAT Udara akan terus kekal relevan dan mereka juga bekerja keras dalam menyokong segala usaha TUDM.

Mengakhiri ucapan, beliau dan bagi pihak seluruh kepimpinan TUDM mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun TUDM yang ke-64 kepada semua warga udara. “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.