LAWATAN RASMI CHIEF OF AIR FORCE, ROYAL AUSTRALIAN AIR FORCE AIR MARSHAL MEL HUPFELD, AO, DSC KE MALAYSIA

1 2 3
4 6 7
8 9 10
11 12 19
24 25 28

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis 21 – Chief of Air Force, Royal Australian Air Force (CAF RAAF), Air Marshal Mel Hupfeld, AO, DSC telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia khususnya ke pimpinan tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau tiba di Malaysia pada 13 Dis 21 dan mengakhiri lawatan rasminya pada hari ini dengan lawatan ke Wisma Pertahanan dan membuat kunjungan hormat.

Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan telah disambut dengan istiadat ketenteraan menerusi Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Pasukan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama TUDM yang terdiri daripada tiga (3) Pegawai dan 103 anggota LLP, diketuai oleh Mej Mohd Firdaus bin Awang Koding TUDM selaku Ketua Kawalan dengan diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM yang diketuai oleh Mej Mohamad Rizal bin Hj Mohamad Noor TUDM.

Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyambut ketibaan Air Marshal Mel Hupfeld di Wisma Pertahanan berserta Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM.

Air Marshal Mel Hupfeld seterusnya membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM. Pertemuan ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan di antara TUDM dan RAAF di samping berkongsi maklumat dan pengalaman kedua-dua pihak.

Dalam rangka lawatan tiga hari di Malaysia, beliau bersama delegasi telah dibawa melawat ke Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Butterworth. Di Pangkalan Udara Butterworth, beliau turut meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan warga RAAF di 19 Skuadron RAAF.