LAWATAN KERJA RASMI PANGLIMA TENTERA UDARA KE AKADEMI TENTERA UDARA

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

IPOH, 5 Mac 2021 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah membuat lawatan kerja rasmi selama dua (2) hari ke Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. Lawatan kerja rasmi ini turut disertai isteri beliau, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam, merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara yang membuat lawatan kebajikan untuk BAKAT Udara ATU, Ipoh. Lawatan Kerja ke ATU turut disertai oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM; AKS Tadbir, Brig Jen Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM; AKS Materiel, Brig Jen Zainal bin Abdul Manaf TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM yang turut disertai oleh isteri yang merupakan Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Udara.

Ketibaan Panglima Tentera Udara (PTU) bersama deligasi telah disambut oleh Komandan ATU, Kol Baharuddin bin Abu Hassan TUDM dan eksekutif ATU bersama isteri masing-masing. Seterusnya PTU menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter sebaik memasuki akademi. Beliau dan delegasi turut membuat saringan suhu badan sebagai prosedur operasi tetap (SOP) langkah pencegahan Covid-19.

Lawatan kerja rasmi PTU bermula dengan sesi taklimat berkenaan ATU serta perkembangan semasa akademi oleh Komandan ATU. Seterusnya, beliau dibawa melawat ke Blok Penginapan Perajurit Muda, Kelab Rekreasi Perajurit Muda, Sauna Akademi dan Kelab Ahli Udara (Junior Rank Club (JRC)). PTU dan delegasi turut menyantuni warga akademi bagi mendekati dan mengetahui permasalahan khususnya di kalangan anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

PTU dan delegasi turut meluangkan masa bertemu serta menyertai jamuan makan tengah hari bersama anggota berpangkat Koperal Udara setaraf dan ke bawah termasuk Perajurit Muda Siri 63/20 yang bakal meninggalkan kenangan tersendiri sebelum mereka menamatkan latihan secara rasmi pada pertengahan Mac nanti. PTU turut menguntukkan masa selepas jamuan makan tengah hari dengan sesi dialog bersama anggota bertempat di Dewan Cenderawasih bagi mendengar secara langsung perkara-perkara yang ingin dibangkitkan atau mendapatkan pencerahan terus dari pucuk pimpinan tertinggi TUDM.

Pada hari kedua lawatan, PTU telah diberikan penghormatan merasmikan bangunan baharu untuk kemudahan warga ATU yang diberi nama Bilik Dewa Wangsa. Meneruskan lawatan pada hari kedua, PTU dan delegasi telah melihat dengan lebih dekat kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Sri Angkasa yang menempatkan warga ATU. PTU dan delegasi turut menyempurnakan penanaman anak benih pokok durian Musang King yang bukan sahaja menyokong alam sekitar menghijaukan bumi tetapi boleh mendatangkan hasil untuk beberapa tahun akan datang. Mengakhiri lawatan, PTU turut melawat rumah BAKAT RKAT Desa Sri Angkasa sebelum berlepas pulang.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer