LAWATAN KERJA PANGLIMA TENTERA UDARA KE PANGKALAN UDARA GONG KEDAK

1 2 3
4 5 6

 

GONG KEDAK, 15 Jun 22 – Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah membuat lawatan kerja rasmi ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) selama dua hari bermula 15 Jun. Lawatan kerja rasmi ini juga disertai oleh isteri beliau, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara yang memfokuskan kepada lawatan kebajikan ke atas BAKAT Udara PUGK.

Turut serta dalam lawatan kerja ialah Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM; AKS Perancangan & Pembangunan, Mej Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; AKS Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM; AKS Materiel, Mej Jen Zainal bin Abdul Manaf TUDM; AKS Kejuruteraan, Brig Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM; AKS Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM; Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM; AKS Komlek, Kol Mohd Hakimi bin Mohd Anuar TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM yang turut disertai oleh isteri yang merupakan Ahli Jemaah dan ahli BAKAT Udara.

7 8 9
10 11 12

 

Ketibaan PTU bersama deligasi telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM dan kumpulan eksekutif pangkalan bersama isteri masing-masing. PTU telah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter. PTU dan delegasi seterusnya diberikan taklimat berkenaan pengoperasian, pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh pangkalan oleh Komander Pangkalan. Beliau kemudiannya meninjau projek penurapan semula landasan yang dalam proses pembaikan. Beliau dan delegasi meneruskan lawatan ke MATRA 3 serta diberikan taklimat berhubung tahap pengoperasian dan selenggaraan bagi mengekalkan pengoperasian berada di tahap optima.

PTU kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Cawang Kejuruteraan yang bertanggungjawab dalam aspek senggaraan pesawat. PTU dan delegasi turut menguntukkan masa bertemu dan menyantuni pegawai dan anggota Cawang Kejuruteraan serta beramah mesra mendekati dan mengetahui permasalahan di peringkat masing-masing.

13 14 15
16 17 18
19 20 21

 

Seterusnya PTU dan delegasi meluangkan masa bersama warga PUGK berpangkat Koperal Udara dan ke bawah di KOMATRA serta bersama-sama makan tengah hari sebelum beliau menyambung lawatan kerja. Beliau turut menyampaikan amanat dan hasrat beliau yang menitikberatkan pemerkasaan anggota Koperal Udara ke bawah sebagai penggerak dan aset kepada perkhidmatan demi kesinambungan dan kecemerlangan organisasi.

Mengakhiri lawatan kerja rasmi, PTU dan delegasi menyertai latihan menembak pistol di lapang sasar pistol PUGK bagi meningkatkan kemahiran menembak.