IPOH, 11 Apr 22 - Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM telah mengadakan Lawatan Kerja dan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Akademi Tentera Udara, Ipoh. Ketibaan beliau dan delegasi telah disambut oleh Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kol Junairi bin Baharom TUDM.
Acara lawatan dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kuarter oleh TPTU di Skn 223 HANDAU. Selesai menerima tabik hormat, delegasi lawatan dibawa ke Bilik Dewa Wangsa untuk sesi menandatangani buku lawatan serta acara bergambar di hadapan Dewan Rajawali.
Sebagai pucuk pimpinan TUDM, beliau telah melawat ke Bilik Rekreasi Perajurit Muda Udara di Sekolah Latihan Perajurit Muda (SLPM). Ianya bertujuan melihat sendiri kelengkapan serta fasiliti yang terdapat bagi kegunaan aktiviti riadah PjM U Siri 64/21. Ianya selari dengan tonggak ke-3 Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-20 iaitu pemerkasaan dan pengupayaan warga udara yang memerlukan warga udara yang berkelayakan, berilmu, memiliki pemikiran yang kritikal dan inovatif.
Delegasi lawatan kemudiannya dibawa meninjau kawasan yang terjejas akibat ribut yang melanda ATU beberapa minggu yang lalu. Antara kawasan tinjauan tersebut adalah di Padang Kawad A, Cawangan Materiel dan Kolam Komandan yang memerlukan peruntukan tambahan sebelum majlis tamat latihan berlangsung. Keprihatinan TPTU sepanjang lawatan dilihat sebagai sebuah harapan baru bagi mengembalikan infrastruktur ATU kepada keadaan sedia kala.
Pada sebelah petang, TPTU serta delegasi dijemput menghadiri majlis iftar bertempat di Dewan Cenderawasih ATU. Bagi pengisian kerohanian sebelum waktu iftar, tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Pegawai Agama Akademi, Kapt Suher Wajdi bin Abd Rahman. TPTU dan delegasi turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat Tarawih di Surau Al-Hawaiyyah ATU. Walaupun kini di fasa endemik, prosedur operasi standard (SOP) masih dikekalkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Turut hadir dalam program sehari ini ialah Asisten Ketua Staf (AKS) Materiel, Mej Jen Dato' Zainal bin Abdul Manaf TUDM, Ketua Pengarah Sekretariat, Mej Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM, AKS Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM, Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU), Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM serta beberapa jemputan lain.