ISTIADAT PERBARISAN PENTAULIAHAN DIRAJA PEGAWAI KADET PALAPES UNIVERSITI AWAM KE-40 TAHUN 2022

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

BANGI, 10 Sep 22 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari ini telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-40 yang diadakan di Dataran Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang telah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima-panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor (NC) UKM, Kol (K) Prof Dato' Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

10 11 12
13 14 15
16 17 18

 

Istiadat pentauliahan ini melibatkan seramai 1,625 Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Siri Ke-40 yang terdiri daripada 1,024 orang Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia, 277 orang Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 324 orang Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Perbarisan pada kali ini terdiri daripada 16 detasmen daripada 19 UA seluruh Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Badrul Amin bin Amanti dari PALAPES Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di dalam istiadat perbarisan ini, turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 34 orang Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap UA mewakili perkhidmatan masing-masing. 8 orang daripada jumlah tersebut adalah Pegawai Kadet Udara yang merupakan Pegawai Kadet Terbaik bagi Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Selesai istiadat Perbarisan, KDYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada semua Pegawai Muda terlibat. Istiadat pengurniaan watikah ini telah berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Istiadat disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh Pegawai Muda yang baru ditauliahkan.

19 20 21
22 23 24

Istiadat Pentauliahan ini adalah manifestasi berterusan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menjayakan hasrat Kerajaan Malaysia bagi memperkasakan Pasukan Simpanan ATM sejajar dengan Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Istiadat ini telah dianjurkan secara bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Markas Pasukan Simpanan Tentera Laut & Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara.

25 26 27
28 29 30

 

Di Istiadat Perbarisan ini juga menjadi sejarah kepada Detasmen No 8 TUDM iaitu gabungan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang telah dinobatkan sebagai Detasmen Terbaik daripada 16 detasmen yang terlibat dalam perbarisan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Siri Ke-40 terutamanya Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia. Semoga terus komited, beriltizam dan teruskan perkhidmatan serta bergiat aktif dalam Angkatan Sukarela Tentera Malaysia. Teruskan berjuang!

#tudm
#sentiasadiangkasaraya
#MPSTU
#PALAPESUA2022