ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEPAHLAWANAN ANGKATAN TENTERA (DKAT) TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6
7 9 8
10 11 12

 

KUALA LUMPUR, 17 Okt 23 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan mencemar duli ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) tahun 2023 di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur.

Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM bersama isteri, Datin Seri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor turut hadir ke Istiadat Pengurniaan DKAT sesi pertama hari ini melibatkan seramai 293 penerima pingat. Pada Istiadat hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 13 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 43 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 112 penerima, dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 116 penerima. Istiadat bersejarah pada hari ini menyaksikan Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM; AKS Kejuruteraan, Mejar Jeneral Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM menerima Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan AKS Materiel, Brigedier Jeneral Nor Azmi bin Abd Rahman menerima Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).

Pada Istiadat Pengurniaan DKAT kali ini juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob. Turut sama dikurniakan PGAT adalah 6 pegawai kanan tentera dari negara asing iaitu Laksamana Yudo Margono; Panglima Tentera Nasional Indonesia, Laksamana Madya Aaron Beng; Panglima Angkatan Tentera Singapura, Jeneral Dudung Abdurachman; Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat, Mejar Jeneral Saeed Rashid Ali Al Shehhi; Komander Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu, Laksamana Muhammad Amjad Khan Niazi; Panglima Tentera Laut Pakistan dan Laksamana Chemgchai Chomchemgat; Panglima Tentera Laut Diraja Thailand.

Keseluruhannya, seramai 587 penerima dianugerahkan pingat dalam Istiadat Pengurniaan DKAT pada tahun ini yang yang diadakan dalam dua sesi pengurniaan. Sesi pertama adalah pada hari ini dengan penglibatan 293 penerima pingat dan sesi kedua akan dilaksanakan pada 19 Okt 23 dengan penglibatan 294 penerima pingat.