EKSESAIS TACOP 1/21: MENGUJI KOMPETENSI DAN KECEKAPAN ANGGOTA SEKSYEN HANTARAN UDARA TUDM

1 2 3
4 5

 

Seksyen Hantaran Udara (SHU) TUDM memainkan peranan penting di dalam Eksesais TACOP Siri 1/21. SHU TUDM dipertanggungjawabkan bagi memastikan bekalan muatan sampai ke pasukan barisan hadapan dengan pantas dan berkesan agar operasi ketenteraan yang dirancang dapat dilaksanakan.

Dalam menentukan perkara tersebut berjalan lancar, setiap bekalan muatan berkenaan hendaklah sampai dalam keadaan baik dan selamat. Kaedah ‘Rigging’ adalah proses mengikat bekalan muatan yang diterima sebelum dimuatkan ke dalam pesawat. Proses ini perlu dilakukan dengan teliti bagi menentukan bekalan muatan tidak rosak apabila digugurkan pada ketinggian lebih daripada 1000 kaki dari udara.

Teknik yang digunakan untuk menghantar bekalan muatan tersebut adalah dengan menggugurkannya melalui pesawat udara ke kawasan operasi atau Zon Pengguguran (DZ). Teknik pengguguran yang biasa digunakan ialah teknik pengguguran udara Heavy Equipment (HE), Container Delivery System (CDS) dan Low Cost Low Altitude (LCLA).

Bekalan muatan tersebut seterusnya akan diterima oleh Drop Zone Recovery Team (DZRT). Ia akan diuruskan melalui kaedah Sling Load Operation menggunakan pesawat EC 725 AP dan Multifunction Spotter.

Teknik pengguguran seperti ini amat berguna bukan sahaja semasa melaksanakan operasi ketenteraan tetapi juga sangat penting ketika menghadapi bencana alam. Sebagai contoh, menggugurkan bekalan muatan yang mengandungi peralatan perubatan atau bekalan makanan di kawasan yang terputus hubungan laluan darat akibat banjir atau tanah runtuh.

Melalui Eksesais TACOP siri 1/202 kali ini, anggota SHU diuji dari aspek teknikal, kompetensi dan kecekapan khususnya dalam persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan serta memastikan kesiagaan pada sebilang masa.