SEPANGGAR, 16 Ogos 23 - Eksesais Angkasa Samudera Siri 14/23 atau Eksesais ANGSA Siri 14/23 mencatat rekod sejarahnya tersendiri dengan penglibatan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mempamerkan konsep kebersamaan operasi angkatan laut dan udara. Majlis Penutup Eksesais ANGSA Siri 14/23 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM bertempat di Dewan Sepanggar, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapan penutup menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga dengan pencapaian dan keberhasilan Eksesais ANGSA Siri 14/23 yang secara keseluruhannya, telah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif - objektif yang telah digariskan serta tiada sebarang insiden yang serius berlaku.
Eksesais ANGSA merupakan satu-satunya eksesais bersama terbesar di antara TLDM dan TUDM yang dianjurkan secara penggiliran Pada tahun ini, konsep eksesais iaitu Field Training Exercise (FTX) telah dibangunkan dengan mengambil kira situasi ancaman sebenar dan keupayaan semasa aset TLDM dan TUDM bagi menguji serta menilai tahap kesiapsiagaan dan saling khidmat antara TLDM dan TUDM dalam menangani konflik maritim secara operasi bersama.
Dalam ucapannya, Panglima Tentera Udara menekankan elemen ‘people’ atau aset sumber manusia merupakan tonggak utama dalam TLDM mahupun TUDM dan eksesais ini memainkan peranan yang sangat penting dalam merangsang keupayaan integrasi “people, process & platform” yang dizahirkan menerusi latihan, peralatan dan persenjataan seiring dengan keperluan pertahanan semasa. Justeru, peningkatan ilmu pengetahuan serta pengalaman melalui eksesais seperti ini adalah amat berharga dan signifikan dalam melahirkan warga Angkatan Tentera Malaysia yang cemerlang bagi menangani cabaran kontemporari dan mendatang, meningkatkan kemahiran dan kompetensi anggota dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan bagi memelihara kedaulatan maritim negara.
Tambah beliau, bagi mencapai elemen “jointness”, bukanlah satu tugasan yang mudah bagi sesebuah angkatan tentera namun Eksesais ANGSA ini merupakan platform yang paling sesuai bagi memperkasakan elemen “jointness” serta mengenal pasti jurang kebolehoperasian di antara perkhidmatan di masa hadapan. Beliau berharap usaha peningkatan elemen “jointness” akan terus dipertingkatkan lagi bagi bersama-sama membentuk sebuah angkatan tugas yang lebih matang dan diyakini dalam pelaksanaan operasi domain maritim secara kolektif. Eksesais ANGSA kali ini juga menjadi pemacu kepada penambahbaikan taktik, teknik dan prosedur di antara TLDM dan TUDM di peringkat operasional dan taktikal. Eksesais ini juga turut melibatkan Tentera Darat Malaysia.
Panglima Tentera Udara turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur dan Markas Pemerintahan Operasi Udara, selaku penganjur bersama Eksesais FTX ANGSA Siri 14/23, dan telah merealisasikan penganjuran eksesais yang berprestij ini dari peringkat awal perancangan sehingga ke akhir pelaksanaan dengan selamat dan berjaya.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman bin A. Wahab mewakili Panglima Tentera Darat; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis; Panglima Armada Timur selaku Officer Scheduling Exercise (OSE) ANGSA 14/23, Laksamana Madya Dato' Pahlawan Haji Muhammad Ruzelme bin Haji Ahmad Fahimy; Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Farizal bin Myeor, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai Memerintah dan peserta eksesais.
Dengan berakhirnya Eks ANGSA Siri 14/23, TUDM turut melabuhkan tirai Eksesais PARADISE Siri 10/23 yang berlangsung seiringan.