LAHAD DATU, 5 Mac 21 – “Dua juruterbang TUDM telah mengalami insiden dan mereka berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi anjal (ejection seat). Kedua-dua mereka berjaya dikesan kedudukannya. Sebaik sahaja survivor dikesan oleh pesawat CN235, helikopter TUDM EC 725 AP dikejarkan ke lokasi di sekitar perairan Semporna dari Detasmen Lahad Datu (DLD) untuk menyelamatkan mangsa”. Inilah sebahagian dari senario Eksesais Search and Rescue (SAREX) yang dilaksanakan oleh Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) bermula 1 hingga 5 Mac 21.
Penutup SAREX Siri 1/2021 menjadi liputan sejarah kepada TUDM amnya dan Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) khususnya kerana ia menjadi eksesais sulung bagi tahun 2021 dan melibatkan MAWILUD 2 sebagai penganjur utamanya di samping mengambil pendekatan di dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Majlis Penutup SAREX pada hari ini telah dirasmikan oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato Hj Shamsudin bin Kassim TUDM secara sidang video yang bersiaran dari Detasmen Lahad Datu melibatkan markas, pangkalan dan unit yang terlibat.
Panglima Wilayah Udara 2 di dalam ucapan penutup eksesais menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kepercayaan pucuk pimpinan tertinggi TUDM terhadap MAWILUD 2 yang diamanahkan melaksanakan eksesais ini. Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pasukan TUDM di bawah naungan MAWILUD 2 dengan penglibatan pegawai dan anggota dari Mil-RSC di CRC 2, PU Labuan, PU Kuching, PUKALUB KK dan PBOU Tawau. Beliau juga turut mewakili sekretariat eksesais menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada pihak-pihak lain yang turut bekerjasama berpadu tenaga dengan pihak MAWILUD 2 untuk merealisasikan eksesais kali ini iaitu Markas Angkatan Tugas Bersama 2, CAAM dan Malaysia Airport Berhad, ESSCOM, IPD Lahad Datu, Polis Marin Lahad Datu, PDRM, KKM Lahad Datu dan lain-lain pihak atau individu yang menghulurkan bantuan secara langsung mahupun secara tidak langsung dan berharap jaringan kerjasama yang terjalin ini akan berterusan dan kian diperkukuhkan.
SAREX Siri 1/2021 telah berjaya mencapai objektifnya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini di samping keadaan cuaca yang baik turut melancarkan perjalanan eksesais yang selesai pada hari ini. Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga!