KUANTAN, 27 Oktober 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi platform Eksesais PARADISE Siri 8/2021 telah melaksanakan Program Jiwa Murni atau Community Relation (COMREL) sebagai sebahagian daripada aktiviti TUDM bersama masyarakat setempat. Di dalam setiap eksesais, program COMREL yang dilaksanakan mengeratkan hubungan tentera bersama komuniti masyarakat di samping mampu mengukuhkan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap TUDM khususnya dan ATM.
Pada kali ini, Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Nadwah Permata Camar serta Rumah Anak Yatim & Miskin Dynasti telah dipilih di dalam program jiwa murni tersebut. Peserta eksesais dan beberapa anggota dari Pangkalan Udara Kuantan telah melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan dan memotong rumput di premis Rumah Anak Yatim & Miskin Dynasti sehari sebelum majlis penyerahan sumbangan.
Di dalam dua majlis berasingan, delegasi eksesais yang diketuai oleh Timbalan Ketua Staf 1, Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Brig Jen Mohamed Fadzil bin Ismail TUDM mewakili Pengarah Eksesais telah menyampaikan sumbangan mesin rumput, mesin pengering pakaian, alatan mandian, sabun pencuci pakaian dan wang tunai hasil sumbangan ikhlas dari warga Markas dan pangkalan-pangkalan TUDM. Sumbangan telah disampaikan kepada YH Dato’ Hj Halidan bin Md Daud selaku Pengerusi Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Nadwah Permata Camar dan Puan Maskhazila @ Tohirah binti Ismail selaku Pengerusi Rumah Anak Yatim & Miskin Dynasti.
Turut hadir, Ketua Staf Markas Wilayah Udara 1, Brig Jen Abdul Halim bin Hassan TUDM dan beberapa orang pegawai kanan TUDM. Program COMREL ini sekaligus memupuk dan menambah nilai pembangunan modal insan khususnya di kalangan warga TUDM agar nilai jati diri, sikap yang positif, akhlak, adab dan rasa keprihatinan terus seimbang meskipun ketika terlibat dengan tugas-tugas operasi.