SHAH ALAM, 12 Ogos 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan Penyampaian Anugerah Inovasi Tentera Udara Diraja Malaysia (AITUDM) Tahun 2022 bertempat di Auditorium AWC, Pangkalan Udara Subang hari ini. Ia menjadi acara tahunan inovasi yang sangat berprestij dalam kalendar program TUDM yang dikelolakan oleh Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM.
Sambutan Hari Inovasi TUDM pada tahun ini telah memilih tema ‘Warga Inovatif Keunggulan Organisasi’. Pemilihan tema ini adalah bagi menggalakkan penyertaan warga TUDM dalam membudayakan inovasi secara berterusan dalam aspek sumber manusia, aset, logistik serta tadbir urus yang mana ianya mampu memacu kepada peningkatan kecemerlangan di dalam Kesediaan (Readiness) dan Ketahanan (Sustainability), sekaligus menghasilkan tahap Kesiagaan (Preparedness) TUDM yang tinggi. Dengan cara sedemikian, TUDM akan terus unggul dalam pelaksanaan fungsi utamanya, iaitu melindungi kedaulatan dan kepentingan ruang udara negara.
Empat (4) kategori telah dipertandingkan bagi AITUDM 2022 dan keputusan pemenang adalah seperti berikut:
1. Kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan – Penciptaan.
a. Johan : (Kumpulan Silent Screamer), Cawangan Operasi, PU Gong Kedak.
b. Naib Johan: (Kumpulan Portable Foam Fill Pump), Cawangan Bomba, PU Kuantan.
c. Tempat Ketiga: (Kumpulan RMAF Domestic Vehicles Tow Dolly)) , INSMAT.
2. Kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan – Penambahbaikan.
a. Johan: (Kumpulan Knight Bi Electronic Management System (K- BEMS)), No. 16 Skn, PU Subang.
b. Naib Johan: (Kumpulan Jammer Pod Lifting Trolley (JPLT)), No. 12 Skn, PU Gong Kedak.
c. Tempat Ketiga: (Kumpulan Radar Processor Interface Device (RAPID)), Cawang Kejuruteraan, PU Kuantan.
3. Kategori Inovasi Sosial - Penciptaan.
a. Johan: (Kumpulan Detachable Eleastic Barrier), No. 14 Skn.
b. Naib Johan: (Kumpulan Aqua Cleaner), Terminal Peluru 2.
c. Tempat Ketiga: (Kumpulan Smart Flood Detector (SFD-22)), No. 2 Skn.
4. Kategori Inovasi Sosial - Penambahbaikan.
a. Johan: (Kumpulan Virtual Avionics Simulator Trainer 2.0), PLTT Angkut.
b. Naib Johan: (Kumpulan A-Wacs Aqua), Institut Teknologi Aerospace (ITAS).
c. Tempat Ketiga: (Kumpulan Revolution Advance Innovation Network (R.A.I.N)), PUSPEKA.
Setiap pemenang iaitu Johan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000.00,sijil dan piala iringan; Naib Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.00 dan sijil manakala tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00 dan sijil.
Dalam majlis yang sama juga, Panglima Tentera Udara turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Terbang Selamat dan Anugerah Stereng Emas. Anugerah Terbang Selamat dianugerahkan kepada juruterbang sebagai pengiktirafan di atas keupayaan serta kemampuan di dalam menerbang dan mengendalikan pesawat TUDM tanpa mengalami sebarang insiden/kemalangan yang berpunca daripada kesilapan juruterbang itu sendiri (aircrew factor). Penerima Anugerah Terbang Selamat (ATS Pin Gangsa) dianugerahkan kepada Lt Kol Mohd Zulazri bin Ibrahim TUDM dari No. 14 Skn.
Anugerah Stereng Emas pula merangkumi kategori Pemandu Cemerlang dan Fleet Kenderaan Terbaik untuk memupuk semangat budaya kerja cemerlang di kalangan anggota Pengurusan Pengangkutan Kenderaan (PPK) bagi memberi perkhidmatan yang profesional dan selamat. Johan bagi Anugerah Pemandu Terbaik dimenangi oleh Kpl U Mohd Firdaus bin Ismail. Bagi Anugerah Fleet Kenderaan Terbaik, Johan disandang oleh Fleet Kenderaan PU Gong Kedak.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya menyeru semua warga TUDM agar lebih berinovatif dan kreatif dalam melaksanakan tugasan harian dan tanggungjawab yang diamanahkan sejajar dengan tonggak keempat di dalam perintah ulung beliau iaitu Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi. Di antara cara yang efektif untuk mengoptimumkan sumber yang ada ialah dengan melahirkan warga TUDM yang berminda inovatif. Sifat ini akan menghasilkan idea-idea dan kaedah-kaedah baharu terutama dalam menambah baik proses kerja bagi mendapatkan hasil kerja yang lebih efisien.
Beliau berhasrat agar usaha untuk menjadikan inovasi sebagai budaya di kalangan warga TUDM menjadi satu tindakan yang berterusan dan bukan hanya berorientasikan pertandingan semata-mata, ianya perlu dijadikan satu komitmen dan inisiatif bagi menambahbaik penggunaan aset-aset dan proses kerja yang sedia ada supaya hasil dan kualiti kerja dapat dipertingkatkan, disamping mampu menjimatkan kos, masa, tenaga kerja dan sekaligus boleh memberi manfaat yang berguna kepada organisasi.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada barisan panel penilai iaitu dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Malaysia Institute of Defence and Security (MiDAS) yang mana kerjasama di antara TUDM dan agensi luar adalah amat penting dalam usaha menambahbaik produk inovasi terutama berteraskan bidang sosial agar lebih relevan dan praktikal.
Turut hadir ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM; serta pegawai-pegawai kanan TUDM dan warga TUDM. Pelaksanaan program ini menjadi bukti komitmen TUDM terhadap usaha-usaha menyemarakkan pembudayaan inovasi di kalangan warga TUDM dan sebagai dorongan untuk berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keupayaan penyampaian perkhidmatan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta Anugerah Inovasi TUDM (AiTUDM) Tahun 2022.