Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Datoβ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dalam rangka Lawatan Pengenalannya ke Brunei Darussalam telah menerima pengiktirafan daripada Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dengan Penganugerahkan Sayap Penerbangan Kehormat Tentera Udara negara tersebut.
Penganugerahan yang diterima ini merupakan penghargaan di atas jasa dan sumbangan Panglima Tentera Udara dalam meningkatkan kerjasama pertahanan antara TUDM dan TUDB sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan.
Penyampaian sayap telah disempurnakan oleh Brig Jen (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim, Pemerintah TUDB semasa kunjungan pengenalan kepada rakan sejawatnya di Markas TUDB, Rimba Air Base. Terdahulu, Panglima Tentera Udara telah diberikan penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama semasa tiba di Markas tersebut.
Dalam sesi kunjungan ini, Panglima Tentera Udara turut menerima taklimat organisasi dan pengoperasian TUDB sebelum meneruskan lawatan ke Kementerian Pertahanan Brunei bagi Kunjungan Hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mej Jen Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Lawatan selama tiga (3) hari bermula dari 11 hingga 13 Ogos 24 ini turut diiringi oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM.
Foto Kredit: TUDB