IPOH, 11 Mei 24 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 67/23 bertempat di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datoβ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang turut diiringi oleh isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan.
Keseluruhan anggota PjM U Siri 67/23 pada tahun ini terdiri daripada 383 PjM U lelaki dan 60 PjM U wanita. Perbarisan ini terbahagi kepada tiga (3) iaitu Flait Alpha, Bravo dan Charlie diketuai oleh PjM U Amirul Aqif bin Mohd Salleh serta Ajutan Perbarisan, PjM U Wanita Siti Nur Qamarina binti Ali. Perbarisan telah diiringi oleh Pancaragam Gabungan daripada Pancaragam Pusat TUDM, Kolej Tentera Udara dan Akademi Tentera Udara di bawah pimpinan Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.
Sejurus ketibaan Panglima Tentera Udara, beliau telah menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan dan kemudiannya melaksanakan pemeriksaan perbarisan. Acara Perbarisan diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. Panglima Tentera Udara yang diiringi oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Rafiddee bin Dollah TUDM kemudiannya menyempurnakan penyampaian anugerah kepada PjM U bagi kategori Anugerah Terbaik Keseluruhan PjM U Siri 67/23 yang dinobatkan kepada PjM U Amirul Akif bin Mohd Salleh, Anugerah Akademik Terbaik dinobatkan kepada PjM U Wanita Nur Safiah Hani binti Adly@Adey dan Anugerah Flait Terbaik Keseluruhan dinobatkan kepada Charlie.
Selesai acara perbarisan, acara dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik yang dibawa khas untuk tontonan ahli keluarga yang hadir seperti Pertunjukan Payung Terjun daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kawad Formasi dan persembahan daripada Pancaragam Gabungan daripada Pancaragam Pusat TUDM, Kolej Tentera Udara (KTU) dan Akademi Tentera Udara, persembahan Senaman Perang , Tempur Tanpa Senjata dan Gimnastik yang terdiri daripada PjM U. Selain itu, turut diadakan pameran dan jualan daripada pelbagai agensi.
PjM U Siri 67/23 telah menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu (6 Bulan) bermula pada 14 November 2023 . Mereka melalui tiga (3) fasa latihan iaitu Fasa Pertama, Latihan Asas Ketenteraan; Fasa Kedua, Pelajaran serta Akademik dan Fasa Ketiga iaitu Latihan, Ujian Praktikal serta Pembentukan Sahsiah. Berbekalkan semangat dan kecekalan, akhirnya kesemua PjM U yang mengikuti latihan asas ini telah berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Selepas menamatkan latihan ini, mereka akan ditempatkan dalam Ketukangan/Tred masing-masing di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan. Mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas Ketukangan/Tred agar memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran dan sebagai permulaan karier sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.
Perajurit Muda Udara yang terpilih ini adalah terdiri daripada pelbagai latarbelakang keluarga dan kepelbagaian kaum iaitu 401 berbangsa Melayu, 4 berbangsa India, seorang berbangsa Cina, seorang berbangsa Siam manakala 36 bumiputera daripada Sabah dan Sarawak.
Dari segi kelulusan akademik, seramai 214 Perajurit Muda Udara mempunyai kelulusan akademik Diploma, 36 orang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, 26 orang Sijil Kemahiran Malaysia dan baki seramai 167 Perajurit Muda Udara pula berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Pengambilan Perajurit Muda Udara pada siri kali ini merupakan yang paling ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini yang puratanya dalam 350 orang. Jumlah pengambilan meningkat disebabkan TUDM telah mengubah sistem pengambilan daripada 2 kali setahun kepada 3 kali dalam masa 2 tahun bagi memastikan pelaksanaan latihan yang lebih efektif dapat dilaksanakan oleh para jurulatih disini. Untuk siri akan datang, TUDM juga telah merancang untuk meningkatkan lagi jumlah pengambilan kepada 500 orang bagi memenuhi keperluan masa hadapan TUDM.
Turut hadir menyaksikan perbarisan ialah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datoβ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.