GONG KEDAK, 8 Ogos 23 – Warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk pasangan yang berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) DUN Terengganu yang bertempat di Dewan Puteri, PUGK.
Warga PUGK telah berkumpul seawal jam 8 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia sepertimana yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) iaitu bagi mengundi di Pusat Pengundian PUGK - N01 Besut. Proses mengundi dijalankan secara berperingkat mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran proses membuang undi. Selain warga TUDM beserta pasangan, seramai 23 petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Besut juga membuang undi disini.
Turut hadir adalah Komander Pangkalan, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM dan barisan eksekutif pangkalan bagi menyaksikan proses pelaksanaan membuang undi disamping turut sama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.