LENGGENG, 8 Okt 21 - Hampir 50 warga Institut Kepimpinan dan Pengurusan (INSKEP) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Sendayan melancarkan program Jiwa Murni bertempat di Kampung Sungai Bioh. Program tersebut menyaksikan kerjasama warga INSKEP bersama tiga keluarga yang telah dikenalpasti serba daif dan kekurangan. Program yang dianjurkan oleh Penuntut Junior Officer Course Siri 10/21 bersama warga INSKEP ini telah membersihkan dan menceriakan persekitaran rumah yang terpilih di kampung tersebut.
Lokasi kampung ini dipilih setelah mengambil kira penjimatan logistik berikutan ia berada tidak jauh dari Pangkalan Udara Sendayan selain dilihat sesuai kerana tiga buah rumah keluarga berkenaan terletak berhampiran antara satu sama lain. Aktiviti yang dijalankan telah mengikut saranan yang ditekankan oleh kerajaan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang program. Setiap peserta mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka serta pemeriksaan suhu setiap peserta sebelum bergerak ke lokasi.
Program Jiwa Murni ini dijalankan bagi merapatkan hubungan TUDM bersama masyarakat setempat bagi menjamin keharmonian dan keselamatan negara. Selain itu, ia juga untuk menanam kepercayaan masyarakat bahawa tentera akan bersama membantu masyarakat walau dalam apa keadaan sekali pun. Pegawai Memerintah INSKEP, Lt Kol Nasruddin bin Khalid TUDM memberitahu, “Kita semua sedia maklum bahawa ramai di dalam masyarakat hari ini sangat terkesan dengan ancaman pandemik, ramai orang kehilangan kerja dan hilang sumber pendapatan, ramai anak-anak yang berhijrah atau bekerja di luar kawasan tidak dibenarkan pulang tanpa sebab munasabah. Maka dengan itu, kami terpanggil dengan idea ini untuk membantu keluarga yang benar-benar terkesan. Alhamdulillah, kita dapat melakukannya dengan kerjasama semua warga INSKEP.”
Dalam program itu, warga INSKEP telah membantu penduduk membersihkan dan menceriakan kawasan rumah mereka serta menebang pokok-pokok yang telah reput dan usang bagi menjamin keselamatan penduduk itu sendiri dari perkara yang tidak diingini. Program ini mendapat bantuan dan sokongan penuh dari penduduk kampung yang turut serta di dalam gotong royong ini.
Turut hadir pada program ini, ADUN Lenggeng, YB Tn Hj Suhaimi bin Hj Kassim, Penghulu Mukim Lenggeng, En Azahari bin Mohd Noh dan Ketua Kampung, En Sapei bin Hj Damin. Di akhir program, Pegawai Memerintah INSKEP menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga terlibat.