SUBANG, 3 November 2020 - Sebuah pesawat A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang telah diatur gerak bagi melaksanakan penghantaran bantuan peralatan perubatan ke Sabah bagi kegunaan pusat kesihatan KKM dan juga petugas barisan hadapan bagi memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda negara khususnya di Sabah.
Kebanyakan bantuan peralatan perubatan yang dihantar hari ini adalah sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terdiri daripada Yayasan Ikhlas, Yayasan Maghfirah, Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Mercy Malaysia. Selain itu, turut dihantar adalah barang-barang dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara barangan sumbangan adalah seperti "PPE Set, Isolation Gown, Face Mask, Hand Sanitizer, Face Shield, Approglaclea Goggle, Kit Kebersihan dan beberapa peralatan perubatan lain".
Selain peralatan perubatan, TUDM turut membawa seramai 25 orang Tim Mobilisasi KKM dalam penerbangan hari ini yang mana petugas kesihatan tersebut dihantar ke Kota Kinabalu dan Tawau.
Penerbangan ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Mej In'Amul Hasan TUDM, Mej Tengku Syed Muhammad Amin TUDM selaku juruterbang dan Lt Amir Akmal TUDM serta Lt Muhammad Hilmi TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain yang turut membantu misi ini adalah 3 orang loadmaster iaitu FSjn Mohd Azril, FSjn Hairy dan Sjn U Mohd Nain serta 2 orang suplementary crew iaitu Sjn U Abdul Al-Hafiz dan Kpl U Hairuz.
Pesawat A400M berkenaan turut membawa 25 kotak sampel "swab test" dari Tawau dan Kota Kinabalu dalam penerbangan pulang. Kesemua sampel tersebut telah selamat diserahkah kepada KKM sebaik tiba di Pangkalan Udara Subang.
Semoga segala usaha bagi membantu memerangi Covid-19 khususnya di Sabah pada ketika ini dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi melandaikan lekuk kes jangkitan wabak ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal dan juga pihak yang terlibat dalam memastikan penghantaran bantuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga segala usaha murni pelbagai pihak ini disertai dengan iringan doa daripada seluruh rakyat agar negara dapat menangani wabak ini dengan baik dan terkawal sepenuhnya.