SENDAYAN – Sjn U Donna anak Tayak sekali lagi membuktikan kecemerlangan beliau di dalam sukan Ekuestrian. Penerima Anugerah Sukan TUDM Tahun 2020 mempamerkan persembahan terbaik di dalam Hybrid Competition 2/2021 peringkat kebangsaan anjuran Equestrian Association of Malaysia (EAM) secara virtual menggunakan aplikasi Zoom. Pertandingan telah dilaksanakan pada 25 dan 26 Sep 21 bertempat di Pusat Ekuestrian Angkatan Tentera Malaysia (MAFEC), Pangkalan Udara Sendayan. Turut hadir menyaksikan dan memberi sokongan ialah Pengerusi Ekuestrian ATM, Kol (Dr) Norazrin bin Shamsudin TUDM.
Seramai 20 atlet ekuestrian telah menyertai pertandingan ini dari pelbagai persatuan dan kelab seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP), Kuala Lumpur Equestrian (KLEC), Bukit Kiara Equestrian & Country Resort (BKECR), Tg. Lumpur Equine Club, Royal Selangor Polo Club, Selangor Turf Club Equestrian and Sports Centre (STCESC) dan Lymans Club.
Sjn U Donna anak Tayak telah menjadi juara di dalam disiplin “Show Jumping” kategori SJ4 (80-90cm) dan SJ5 (90-110cm). Beliau telah menunggang kuda bernama “Utars Vd Langvort Z” bagi kategori SJ4 dan “Golden Granus” bagi kategori SJ5 di mana ATM turut menjadi juara “Horse Owner” bagi kedua-dua kategori tersebut sekaligus mengharumkan nama ATM amnya dan TUDM khususnya di dalam sukan ekuestrian.
Semoga kejayaan beliau akan terus menjadi pemangkin semangat buat generasi sukan ekuestrian ATM yang akan datang. Tahniah diucapkan kepada Sjn U Donna di atas kemenangan yang dicapai serta semua atlet dari Pusat Ekuestrian Angkatan Tentera Malaysia (MAFEC), PU Sendayan yang mengambil bahagian.