KOTA BHARU, 8 Jun 22 - Warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima khabar duka dengan berita kembali ke Rahmatullah Allahyarham LUK Mohamad Ermee bin A.Zakiang anggota ketukangan Avionik dari No 10 Skn, PU Kuantan pada 7 Jun 22 jam 10.45 malam. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan akibat komplikasi buah pinggang dan darah tinggi. Jenazah Allahyarham telah diuruskan oleh Pangkalan Udara Kuantan bersama pihak pengurusan Surau At-Taqwa Pangkalan Udara Kuantan.
Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan Pegawai Memerintah No 10 Skn, Lt Kol Paranjothi Manogharan TUDM telah hadir memberikan penghormatan terakhir serta melaksanakan solat jenazah bersama-sama jemaah yang lain. Komander Pangkalan Udara Kuantan, turut menyantuni ibu dan ayah Allahyarham iaitu Puan Siti Noor Binti Hussin dan En A.Zakiang @ Ahmad Tarmizi bin Kamaridin dan menyampaikan surat ucapan takziah, sumbangan kebajikan serta menyerahkan bendera TUDM sebagai menzahirkan penghargaan TUDM khususnya di atas segala jasa bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan Allahyarham.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kampung kelahiran di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh Bawah Lembah, Kota Bharu, Kelantan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga terdekat untuk menatap dan memberikan penghormatan terakhir dan disemadikan di kampung kelahirannya dengan bantuan pengurusan pengebumian oleh Pangkalan Udara Gong Kedak yang turut diberikan penghormatan secara tradisi ketenteraan.
Seluruh warga TUDM mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar diberikan ketabahan, kekuatan jiwa serta kesabaran menerima ujian kehilangan ahli keluarga.Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan ahli syurga. Al-Fatihah.