KUANTAN, 8 Jul 21 – Sekolah Kawalan Trafik Udara (SKTU), INSPRA telah mengadakan Program Sister School Siri 3/21 secara atas talian bersama School of Air Traffic Control (SATC), Royal Australian Airforce (RAAF) Base East Sale.
Program dua hala ini merupakan lanjutan dari persidangan RMAF-RAAF Air Staff Talk (AST) Siri Ke-9 di RAAF Glenbrook, Australia pada tahun 2017 dan Term of Reference (ToR) Program Sister School yang telah dimeterai semasa AST Siri Ke 11 di Sydney, Australia pada 18 Okt 19.
Objektif program ini adalah untuk menjalinkan hubungan dua hala di antara SATC dan SKTU dengan tumpuan terhadap perkongsian maklumat latihan, operasi, kursus kerjaya ATC dan teknologi simulator.
Ketua Sekolah SKTU, Lt Kol Mohd Amiruddin bin Ahmad Zaini TUDM di dalam ucapan pembukaan sidang video beliau amat berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan oleh pihak atasan TUDM dan RAAF untuk mengetuai Sister School Program Siri 3/21 ini. WGCDR Peter Clark, Commanding Officer SATC di dalam ucapan balasnya menyatakan bahawa pihak SATC amat mengalu-alukan kerjasama ini dapat diteruskan walaupun terdapat cabaran dan kekangan ketika pandemik COVID-19.
Ketua Jurulatih SKTU, Mej Muhammad Adzreen bin Hj Masri TUDM telah membentangkan taklimat SKTU secara menyeluruh dan SQN LDR Daina Sawade, Chief Instructor SATC telah menyampaikan taklimat dan berkongsi maklumat mengenai perjalanan kursus di SATC. Program sidang video tersebut turut dihadiri oleh tujuh orang Jurulatih Pegawai SKTU dan dari SATC dihadiri oleh FLT David O’Beirne, FLT Micheal Jones Evans dan Mej Sharil bin Mohd Hussin TUDM selaku RMAF Secondment Instructor.
Terdahulu, Program Sister School Siri 1/18 telah dilaksanakan pada 8 dan 9 Mei 19 di SKTU, INSPRA dengan lawatan SATC yang diketuai oleh Commanding Officer SATC, WGCDR Micheal Mastus dan Chief Instructor SATC, SQN LDR Nikki Olsen. Manakala Program Sister School Siri 2/19 telah berlangsung di SATC, RAAF East Sale yang diketuai oleh Brig Jen Dato’ Hanafiah bin Abdul Manaf TUDM selaku RMAF ATC Trade Master dan Ketua Jurulatih SKTU, Mej Salam bin Shukar TUDM.
Semoga perkongsian maklumat di antara kedua-dua pusat latihan ini dapat memberi ide bagi merangka startegi baharu untuk melaksanakan perjalanan kursus ATC dengan lebih berkesan di masa akan datang.