IPOH, 22 Jul 22 - Pejabat Pendidikan Akademi Tentera Udara telah menganjurkan program Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) Tentera - Tahap 3 yang bertajuk Permata Hati Penyejuk Ayah Bonda di Auditorium Nuri, Akademi Tentera Udara (ATU). Program yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Plan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 -Teras 3 pelestarian kesejahteraan warga ATM. Malah program ini juga seiring dengan Tonggak Ke 6 Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke 20 - iaitu Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga.
Program PKK Tahap 3 yang dianjurkan pada kali ini telah memfokuskan kepada pegawai dan anggota yang mempunyai anak berumur 6 tahun dan ke bawah. Seramai 40 orang peserta telah menghadiri program yang mana telah dirasmikan oleh Pengerusi BAKAT ATU, Puan Salmiah binti Saud. Manakala penceramah jemputan adalah Pegawai Staf 2 Pendidikan Moral dan Karakter, Jabatan Arah Pendidikan, Mej Aida binti Hj Hamidun.
Sepanjang pelaksanaan program ini, semua peserta mempamerkan interaksi yang positif dan proaktif bersama demonstrasi tentang kemahiran keibubapaan yang dikongsi bersama para peserta dalam mendepani anak-anak pada awal usia. Diharapkan semua ilmu daripada perkongsian yang telah disampaikan akan menjadi asas kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak di samping memperkukuh institusi kekeluargaan yang harmoni dan sejahtera demi meningkatkan moral dan keupayaan berbakti anggota kepada organisasi.