KUALA LUMPUR, 30 Jun 22 – Markas Tentera Udara melalui MTU-Cawangan Perkhidmatan (KAGAT) telah menganjurkan Program Pembangunan Kerohanian Angkatan Tentera Malaysia khusus kepada warga kerja yang bertugas di Markas Tentera Udara (MTU) yang diadakan di Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH.
Dalam pengisian program kerohanian ini, ceramah bertajuk “Kerjaya Tentera Satu Ibadah” telah disampaikan oleh Ustaz Zulkifli bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Zul Pandan.
Di antara intipati ceramah kali ini adalah setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat mempertahankan agama bangsa dan negara adalah ibadah yang dipandang tinggi dan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Ianya turut menceritakan perkisahan tentang Nabi Muhammad SAW turut menjadi panglima perang dalam menegakkan agama Allah dan berhadapan dengan golongan-golongan musyrik. Ini terbukti dalam peristiwa Perang Badar dan Perang Uhud yang menyaksikan semangat dan kecekalan tentera-tentera Islam yang berjuang bermati-matian demi agama Islam.
Perjuangan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat perlu dijadikan iktibar dan pengajaran kepada warga tentera untuk terus istiqamah dalam melakukan pekerjaan sebagai tentera dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dengan ganjaran pahala yang menanti amatlah besar.
Sesungguhnya kerja tentera adalah ibadah dan perlulah kita sentiasa perbetulkan niat kerana Allah SWT.
Semoga dengan ceramah yang disampaikan dapat dijadikan pembakar semangat bekerja dan menjalankan tugas di kalangan warga ATM amnya dan TUDM khasnya.