BANDAR SERI SENDAYAN, 11 OGOS 22 – Mendukung Pelan Strategik Kementerian Pertahanan melalui Teras 4 - Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera, Markas PU Sendayan melalui Pejabat Pendidikan dan Perpustakaan telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Jiwa Murni (Pendidikan) menerusi “Program Motivasi dan Kerjaya Bersama TUDM” kepada pelajar-pelajar Sek Men Keb (Felda) Seri Sendayan.
Program pendidikan bersama agensi luar ini adalah merupakan julung kali diadakan dalam jumlah berskala besar semenjak penubuhan pangkalan tentera udara di Sendayan ini. Seramai 130 pelajar tingkatan 5 yang merupakan calon SPM 2022/2023 dengan disertai 12 orang guru pembimbing dari sekolah berkenaan turut dilibatkan dalam program ini bersama-sama dengan penuntut-penuntut Kursus Asas Psikologi dan Kaunseling TUDM Siri 16/2022.
Objektif program yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan pelajar-pelajar sekolah mengenai rasa cintakan tanahair dan rasa tanggungjawab bersama mempertahankan negara sempena sambutan ke 65 kemerdekaan pada tahun ini. Program ini turut menerapkan minat pelajar terhadap kerjaya ketenteraan sebagai kerjaya pilihan pertama selepas tamat alam persekolahan dan penggajian tinggi.
Pengisian program turut menampilkan Mej Syakirien bin Yusoff sebagai penceramah motivasi dari Sektor Pengurusan Psikologi dan Kaunseling ATM dengan dibantu oleh Mej Norlin binti Salleh dari Sel Pengajian Tinggi Jabatan Arah Pendidikan ATM.
Program “Motivasi dan Kerjaya Bersama TUDM” telah dirasmikan oleh Lt Kol Nor Azhan bin Junaitee TUDM, Ketua Cawangan Materiel PU Sendayan yang mewakili Komander Pangkalan. Turut hadir bersama menjayakan program adalah Puan Shafinaz binti Adam, Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Tuan Shafie bin Hj Mohd Nor, Pengetua SMK (F) Seri Sendayan, Lt Kol Siti Normiah binti Marzuki, wakil Jabatan Arah Pendidikan ATM dan Mej Adisman bin Hazari TUDM, Ketua Cawangan Tadbir PU Sendayan.
Permuafakatan antara pihak TUDM, sekolah dan pihak Jabatan Pendidikan Daerah Seremban dalam kerjasama ini, diharap dapat meningkatkan prestasi kecemerlangan akademik pelajar-pelajar terutamanya anak-anak tentera yang menerima pendidikan menengah di sekolah tersebut.