KUANTAN, 19 Sep 23 – Sel Keselamatan Pangkalan telah mengadakan Program Minggu Keselamatan Pangkalan bertempat di Dewan Sri Angkasa, hari ini. Program ini bertujuan memberikan berikan pendedahan terkini mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja (OSH) kepada semua peringkat anggota dalam pangkalan ini termasuk kakitangan awam. Program bermula dengan gimik perasmian yang telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM.
Pada sesi pagi, program telah diteruskan dengan ceramah keselamatan jalan raya Encik Md Noorhisyam bin Mat Ranee dari Unit Keselamatan Jalan Raya & Korporat, Jabatan Pengangkutan Jalanraya Negeri Pahang dan juga ceramah bertajuk kegagalan menguruskan kewangan boleh mendatangkan kesan negative kepada prestasi kerja oleh Encik Mohd Azizuddin bin Abdullah, Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kuantan. Seterusnya, turut diadakan forum kesedaran dan kesan buli dalam perkhidmatan amnya dan kepada TUDM khasnya. Forum ini telah disampaikan oleh Encik Kamal Affendi, penganalisis jenayah terkemuka di Malaysia.
Pada sesi sebelah petang pula, diadakan ceramah berkenaan pengurusan tekanan di tempat kerja yang telah disampaikan oleh Profesor Nora binti Mat Zin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Kuantan. Seterusnya, Komander Pangkalan menyempurnakan acara penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah diadakan sepanjang minggu keselamatan pangkalan iaitu Pertandingan Video Keselamatan, Pertandingan Poster Keselamatan, Pertandingan Artikel Keselamatan dan Pertandingan Sudut Keselamatan Peringkat Pangkalan bagi Tahun 2023.
Dalam ucapan penutup, Komander Pangkalan berharap agar semua peringkat anggota mahupun kakitangan awam dapat meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja masing-masing agar kejadian malang dapat dielakkan. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang bagi setiap kategori yang telah dipertanding.