PROGRAM JIWA MURNI SKN 330 ERATKAN SILARATULRAHIM BERSAMA PENDUDUK SETEMPAT

image0 image1 image2

 

Kota Samarahan, 29 Dis 22 - Skuadron 330 TUDM telah berjaya melaksanakan Program Jiwa Murni bertemakan penerokaan dan penjelajahan iaitu Kembara Kanang bagi penutup aktiviti bagi tahum 2022. Program ini diadakan adalah sebagai inisiatif bagi mendokong Perintah Ulung ke 6 Panglima Tentera Udara (PTU) ke 20 iaitu kebajikan sosial dan kelestarian dalam mengeratkan silatulrahim dikalangan warga udara bersama orang awam. Lokasi jiwa murni kali ini telah dilaksanakan di sekitar Taman Tengku, Miri dan Kg Oya, Mukah dengan memberi bantuan kepada keluarga yang berstatus asnaf dan anak yatim.

Bantuan yang disumbangkan dalam Program Kembara Kanang ini diperolehi hasil daripada derma ikhlas orang ramai yang berupa barang dan makanan keperluan harian seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, sardin ikan dan susu. Pengagihan barang bantuan sumbangan ini melibatkan seramai 15 orang asnaf di Masjid Al-Firdaus, Taman Tengku, Miri dan 15 orang asnaf di Masjid At-Taqwa, Oya, Mukah.

Penerima sumbangan ini dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Masjid setempat. Penerima sumbangan melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua penghulur sumbangan yang telah sedikit sebanyak meringankan beban mereka akibat daripada terkesan kegawatan ekonomi selepas pandemik ini. Penganjuran program ini telah mendapat sambutan yang amat baik dari kalangan penduduk tempatan disamping dapat menyantuni gologan asnaf yang kurang berkemampuan.

Pelaksanaan Program Kembara Kanang ini merupakan cetusan idea daripada Lt Kol Zainal Abidin Bin Yahia@Yahaya yang merupakan Pegawai Memerintah Skn 330 dan selaku ketua Kembara Kanang. Turut serta dalam program ini terdiri daripada 11 orang pegawai dari Skn 330. Selain membantu masyarakat, objektif program ini juga adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada pegawai muda dalam peningkatkan kemahiran kendiri seperti kemahiran berkomunikasi, meningkatkan keyakinan diri dalam kepimpinan berpasukan, kemahiran membuat perancangan dan keputusan dalam berkumpulan.

Kembara Kanang telah memberi impak yang positif kepada warga Kanang dan telah membuka mata serta minda warga Skn 330 TUDM agar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-NYA dan menghargai kehidupan golongan fakir miskin. Program ini juga secara tidak langsung telah mengukuhkan silratulrahim yang baik melibatkan Qariah Masjid Al-Muhaimin Skn 330 TUDM, Masjid Al-Firdaus dan Masjid At-Taqwa.

Pegawai Memerintah Skn 330 serta barisan Eksekutif Skn, Pegawai-Pegawai dan warga Kanang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan yang telah memberi sambutan serta kerjasama baik kepada Skn 330 TUDM dalam menganjurkan Program Kembara Kanang 2022.