LANGKAWI, 17 Okt 21 - Kolej Tentera Udara (KTU) dengan sokongan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) telah melaksanakan Program Jiwa Murni Pembersihan Pantai Chenang 2021. Program ini melibatkan seramai tiga puluh satu Pegawai yang terdiri daripada jurulatih, staf, peserta Kursus Flying Instructor Course (FIC) Siri 59/20 dan Tactical Flying Instructor Course (TFIC) Siri 45/21 yang diwakili oleh Lt Kol Saravanasennan A/L R. Veerasennan TUDM.
Program ini turut mendapat sokongan dari agensi-agensi tempatan seperti Pejabat Daerah & Tanah Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Jabatan Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Mukim Kedawang dan juga SW Corp. Jumlah peserta yang hadir untuk program ini adalah seramai 143 orang.
Program dimulakan dengan ucapan dari Pegawai Daerah Langkawi, Tuan Haji Saiful Anwar Bin Azmi serta ucapan dari Pegawai Memerintah Institut Latihan Instruktur Terbang (ILIT) ,Lt Kol Saravanasennan A/L R. Veerasennan.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amnya dan Kolej Tentera Udara (KTU) khususnya bersama masyarakat setempat dikala negara menghadapi pandemik Covid-19. Seterusnya, program ini juga dapat memberikan kesedaran bahawa tentera udara bukan sahaja bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara malah turut bertanggungjawab untuk berbakti kepada rakyat.
Lima zon telah dirancang dan dikenal pasti bagi tujuan perlaksanaan pembersihan dan mengindahkan semula infrastruktur di sekitar Pantai Chenang. Pembahagian tugas telah dilaksanakan mengikut zon-zon yang ditetapkan. Setiap zon melibatkan gabungan di antara anggota dari KTU dan agensi-agensi tempatan. Semua peserta yang terlibat telah memberikan komitmen yang jitu dalam menjayakan program ini. Dari data yang telah diperolehi, sekitar 200 kg sampah telah berjaya dikutip dan dikumpulkan pada program tersebut. Program diteruskan dengan upacara penyampaian cenderahati daripada KTU kepada wakil-wakil agensi tempatan. Seterusnya, semua peserta dijemput untuk menikmati jamuan ringan di Menara Penyelamat Pantai Chenang.
Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan diharapkan keindahan dan kebersihan Pantai Chenang dapat dikekalkan pada sebilang masa. TUDM MAMPAN, RUANG ANGKASA AMAN.