IPOH, 15 Jul 22 - Akademi Tentera Udara (ATU) telah menganjurkan Program Derma Darah Peringkat ATU bertempat di 709 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) ATU. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Jiwa Murni akademi bersama Unit Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Program Derma Darah ini telah dijalankan selama dua (2) hari bermula 14 Jul dan 15 Jul 2022 melibatkan dua (2) orang Pegawai Perubatan dan 15 orang staf unit tabung darah. Seramai 371 orang telah mendaftar bagi menderma darah namun, hanya 207 orang yang layak menderma darah mengikut kriteria yang ditetapkan. Penglibatan program kali ini terdiri daripada anggota tentera, kakitangan awam dan Perajurit Muda Udara Siri 65/22.
Program ini merupakan kempen yang dilaksanakan oleh Unit Tabung Darah HRPB iaitu 1 Darah, 1 Penyelamat. Program ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti penjarakan sosial dan tapisan kesihatan bagi membolehkan penderma yang sihat sahaja untuk menyertai program tersebut memandangkan pada masa kini kes influenza-like-illness (ILI) sedang meningkat naik.
Pihak Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TUDM amnya serta Akademi Tentera Udara khasnya terhadap sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat dalam memupuk kesedaran menderma darah dalam kalangan anggota tentera.