GONG KEDAK, 26 Sep 24 – Pangkalan Udara Gong Kedak telah menganjurkan Program Motivasi Pendidikan di bawah Civil-Military Cooperation (CIMIC) Peringkat Pangkalan Udara Gong Kedak Tahun 2024. Program ini diadakan pada 25 dan 26 Sep 24 bertempat di Dewan SMK (A) Dato’ Ismail, Pasir Puteh, Kelantan.
Program yang dilaksanakan ini adalah merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Strategik MINDEF Tahun 2022-2025 di bawah Teras Empat iaitu Pengukuhan Kerjasama Tentera dan Awam dalam memupuk kerjasama strategik dengan masyarakat komuniti.
Program ini telah disertai seramai 100 pelajar tingkatan lima dari empat buah sekolah menengah di sekitar PU GK iaitu SMK (A) Dato’ Ismail selaku tuan rumah, SMK Sungai Petai, SMK (A) Nurul Ittifaq dan SMK Alor Peroi.
Antara pengisian program pada hari pertama ialah sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Mej Khairul Amir bin Abdul Malek, Pegawai Pendidikan Pangkalan Udara Sendayan dan En. Muhd Muizzuddin Mukhtar daripada Itqan Partners Training & Consultant. Pada sebelah petang diadakan ceramah kerjaya yang disampaikan oleh Kapt Wan Ubaiddah Aemir bin Adnan TUDM dari No 12 Skn dan seterusnya lawatan sambil belajar ke PU GK. Pada hari kedua diadakan bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris yang disampaikan oleh guru pakar dan seterusnya majlis penutup program pada sebelah petang.
Objektif program ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dan mengukuhkan ukhwah antara komuniti awam dengan tentera, menerapkan semangat motivasi serta memberi pendedahan teknik menjawab soalan kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Program ini juga dapat menanam minat kepada para pelajar untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia, khususnya perkhidmatan TUDM melalui ceramah kerjaya serta lawatan ke PU GK yang turut diadakan di dalam pengisian program. Selain itu, progam yang melibatkan pelajar dari sekolah-sekolah di negeri Kelantan dan Terengganu ini dapat memberi peluang untuk mereka berinteraksi, bertukar-tukar idea dan pendapat serta kertas soalan peperiksaan percubaan SPM negeri masing-masing.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Kol Mohd Norazan bin Othman TUDM. Turut hadir Eksekutif Pangkalan dan tetamu-tetamu jemputan iaitu Pegawai Pendidikan Daerah Besut dan Pasir Puteh serta pengetua-pengetua sekolah yang terlibat.