KUCHING, 30 Nov 23 - Pangkalan Udara Kuching telah melaksanakan Perbarisan Bulanan Komander Pangkalan yang diadakan di Dewan Seri Angkasa PU Kuching. Perbarisan serba ringkas ini dimulakan dengan Ajutan Pangkalan melapor dan diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Perwira Di Angkasa. Perbarisan ini melibatkan seramai 547 pegawai dan anggota lain-lain pangkat serta kakitangan awam yang berkhidmat di Pangkalan Udara Kuching.
Dalam ucapan Komander Pangkalan, Kol Baharin bin Mohamad TUDM telah menyampaikan beberapa amanat dari Panglima Tentera Udara susulan dari Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara siri 2/23 yang berlangsung di Batu Ferringhi tempoh hari. Beliau juga telah memberi penekanan berkenaan beberapa Direktif PTU sebagai peringatan kepada semua warga pangkalan. Beliau menyeru agar semua peringkat pegawai dan anggota memainkan peranan masing-masing dalam pelaksanaan tugas serta memastikan prosedur yang telah digariskan oleh perkhidmatan sentiasa dipatuhi.
Selain itu, beliau turut memberi peringatan kepada semua Pegawai Memerintah Skuadron serta Ketua Cawang agar sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan ops murni diaktifkan. Beliau juga menyeru kepada semua warga pangkalan supaya merancang cuti masing-masing dengan teratur agar tidak menjejaskan operasi serta pentadbiran Pangkalan.