PENGLIBATAN TUDM DI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-66 PERINGKAT NEGERI PAHANG

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

KUANTAN, 31 Ogos 23 – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 telah dilaksanakan di Padang Kemunting, Kuantan yang serentak sambutannya di seluruh Malaysia. KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 serta diiringi oleh YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah. Turut hadir mengiringi Kebawah Duli Tuanku ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Acara Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Pahang ini turut dihadiri oleh Asisten Ketua Staf J3, Mej Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Ketua Staf MAWILUD 1, Brig Jen Dato’ Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM.

Acara bermula sebaik ketibaan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menerima Kawalan Kehormatan Utama dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Panji-panji No 10 Skuadron terdiri daripada tiga (3) Pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Mejar Zakaria bin Derahman TUDM dan dibantu oleh Kapten Mohd Raqib bin Sulaiman TUDM; Pegawai Panji-Panji No 10 Skuadron, Kapten Mohd Akmal bin Wan Rosdi TUDM manakala Sarjan Major Rejimen Panji-Panji, Pegawai Waran Udara II Fauzi bin Abdul Rashid. Perbarisan diiringi oleh Pancaragam TUDM yang terdiri daripada 30 anggota Lain-lain Pangkat dan dipimpin oleh Lt Muhamad Hanif bin Che Razak TUDM.

Menambahkan signifikan acara bersejarah ini di Hari Kebangsaan dengan penglibatan pesawat TUDM yang membuat terbang lintas hormat tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM dalam formasi ’Diamond’ yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM, Pegawai Pemerintah No 12 Skuadron. Manakala terbang lintas hormat empat pesawat pejuang Hawk turut menambahkan nilai patriotisme acara sambutan yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Hafiz bin Abu Bakar TUDM, Pegawai Memerintah No 15 Skuadron.

Penglibatan warga TUDM di acara ini telah diselaraskan bersama oleh Markas Tentera Udara-Sekretariat melalui Pegawai Penyelaras, Lt Kol Mohd Zaki bin Haji Mohd Noor TUDM manakala Pasukan ‘Flypast Controller’, bagi terbang lintas hormat diketuai oleh Mej Mohd Mustakim bin Abdullah TUDM. Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri Pahang dimeriahkan lagi dengan perarakan melibatkan 99 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai pasukan badan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pendidikan serta kumpulan pancaragam. Rakyat Pahang dan orang ramai telah membanjiri Padang Kemunting, Kuantan bagi menyaksikan acara gilang gemilang Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang membawa tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Sebelum keberangkatan pulang, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyantuni dan melambaikan tangan kepada pengunjung yang hadir, memeriahkan acara Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur tahun ini.